Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

TIADA SEKATAN PERJALANAN BAHARU DIKENAKAN KE ATAS RAKYAT MALAYSIA

TIADA SEKATAN PERJALANAN BAHARU DIKENAKAN KE ATAS RAKYAT MALAYSIA 

 

Kementerian Luar Negeri ingin menjelaskan bahawa tiada sekatan visa baharu yang dikenakan ke atas warganegara Malaysia yang ingin melakukan perjalanan ke luar negara.

Penjelasan ini dibuat susulan penularan sebuah video yang mengelirukan di sebuah platform perkongsian video, yang secara palsu mendakwa bahawa lapan buah negara telah memperkenalkan keperluan visa baharu kepada rakyat Malaysia. Kementerian menegaskan bahawa dakwaan ini adalah sama sekali tidak benar. Sehingga kini, tiada sebarang perubahan terhadap dasar visa yang menjejaskan rakyat Malaysia di negara-negara yang disebutkan.

Bagi menangani perkara ini, Kementerian ini telah membuat laporan polis dan turut merujuk video berkenaan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan lanjut mengikut undang-undang dan peraturan yang sedia ada.

Kementerian menasihatkan orang ramai agar tidak menyebarkan maklumat yang tidak sahih serta sentiasa merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat perjalanan yang tepat dan terkini.

Kementerian Luar Negeri kekal komited dalam memastikan rakyat Malaysia mendapat maklumat yang tepat dan dilindungi semasa berada di luar negara.

 

PUTRAJAYA

25 Mac 2025