SESI PERMUKIMAN MENTERI-MENTERI PERTAHANAN ASEAN TAHUN 2025 (ADMM RETREAT 2025)
SESI PERMUKIMAN MENTERI-MENTERI PERTAHANAN ASEAN TAHUN 2025 (ADMM RETREAT 2025)
1. PULAU PINANG, 26 Februari 2025 – Sesi Permukiman Menteri-menteri Pertahanan ASEAN 2025 (ADMM Retreat 2025) secara rasminya telah disempurnakan oleh Menteri Pertahanan Malaysia, Dato' Seri Mohamed Khaled bin Nordin di Hotel Shangri-La Pulau Pinang, hari ini.
2. Sesi Permukiman ini adalah merupakan pertemuan tidak formal di dalam kerangka ADMM melibatkan Menteri Pertahanan dari 10 buah Negara Anggota ASEAN dan turut disertai oleh Timor-Leste. Antara lain, ia memberi ruang diskusi berkenaan isu-isu keselamatan serantau dengan lebih mendalam, mengeratkan hubungan kerjasama serta merumuskan pendekatan kerjasama masa depan dalam sektor keselamatan pertahanan serantau.
3. Turut berlangsung adalah ASEAN Defence Senior Officials’ Meeting Working Group (ADSOM WG) melibatkan perwakilan pertahanan dari 10 Negara Anggota ASEAN dan Timor-Leste. ADSOM WG adalah merupakan kumpulan kerja yang menyokong ADSOM dan ADMM bagi menyelaras inisiatif kerjasama pertahanan ASEAN, membincangkan isu keselamatan serantau, memperkukuhkan hubungan melalui interaksi dengan negara-negara rakan dialog di samping menyediakan rangka kerja bagi ADMM-Plus.
4. Penganjuran ADSOM dan ADMM adalah merupakan antara komponen keselamatan dalam ASEAN 2025 di bawah tonggak Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC). Platform ADSOM dan ADMM dijangka akan dapat merealisasikan matlamat ASEAN sebagai sebuah komuniti yang aman dan stabil seiring dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” dalam memastikan keselamatan dan pertahanan serantau secara bersama.
5. ADMM 2025 dan ADSOM 2025 menyasarkan lima keberhasilan iaitu:
a. Meneroka kerjasama dalam bidang kepintaran buatan (Artifial Intelligence – AI) dalam sektor pertahanan.
b. Memperkukuhkan penyelarasan serta kerjasama awam-tentera dalam pengurusan bantuan kemanusiaan dan bencana (Humanitarian Assistance and Disaster Relief – HADR).
c. Mempertingkatkan kapasiti dan keupayaan Negara Anggota ASEAN dalam menghadapi ancaman keselamatan siber yang semakin meningkat.
d. Menambah baik kerjasama industri pertahanan dalam kalangan Negara Anggota ASEAN bagi memacu inovasi teknologi dan pembangunan kapasiti serantau.
e. Mendokong kebersamaan ASEAN dan memperkukuhkan ASEAN Centrality dalam menangani cabaran keselamatan serantau seperti keselamatan maritim, sekaligus memastikan rantau ini kekal aman, stabil dan bebas konflik.
6. Kementerian Pertahanan berharap pemukiman ADMM 2025 dan ADSOM 2025 menjadi pemangkin kepada peningkatan pelaburan dalam sektor pertahanan tempatan, dengan membuka lebih banyak peluang kolaborasi teknologi dan inovasi yang dapat memperkukuhkan daya saing industri pertahanan Negara. Selain itu, solidariti ASEAN dalam menangani ancaman keselamatan baru, seperti keselamatan siber dan bencaan alam, perlu terus diperkuatkan melalui platform ini bagi memastikan keamanan dan kestabilan rantau yang berterusan.
7. Kementerian Pertahanan berusaha untuk memperkasakan nama Malaysia sebagai pemimpin dalam diplomasi global dengan menonjolkan keupayaan Negara untuk menjadi jambatan penghubung antara ASEAN dan kuasa besar dunia. Matlamat utama Kementerian Pertahanan adalah untuk melihat ASEAN berkembang sebagai sebuah blok yang bukan sahaja selamat tetapi juga sejahtera dan mampan demi memastikan kemakmuran dan kestabilan untuk generasi akan datang.
8. Keseluruhan, Kementerian Pertahanan Malaysia telah berjaya menganjurkan sesi permukiman dan mesyuarat peringkat kumpulan kerja dengan baik melalui kerjasama yang erat dari Negara Anggota ASEAN dalam usaha kepada pelaksanaan ADSOM 2025 pada September dan ADMM 2025 pada November tahun ini.
“MALAYSIA MADANI”
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
“PERTAHANAN NEGARA, TANGGUNGJAWAB BERSAMA”
_____________________________________________________________________________________________________________________
Kementerian Pertahanan Malaysia
26 Februari 2025