Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

SESI PENILAIAN BERKALA SEJAGAT KEEMPAT MALAYSIA DI MAJLIS HAK ASASI MANUSIA, PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, GENEVA, SWITZERLAND 25 JANUARI 2024

 

SESI PENILAIAN BERKALA SEJAGAT KEEMPAT MALAYSIA DI MAJLIS HAK ASASI

MANUSIA, PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU, GENEVA, SWITZERLAND

25 JANUARI 2024

 

Malaysia akan membentangkan Laporan Negara di sesi Penilaian Berkala Sejagat Keempat (Fourth Universal Periodic Review – UPR) di Majlis Hak Asasi Manusia, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Switzerland pada 25 Januari 2024.

Delegasi Malaysia akan diketuai oleh Ambassador Dato' Bala Chandran Tharman, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri, diiringi oleh pegawai-pegawai dari Perutusan Tetap Malaysia ke PBB di Geneva dan Kementerian dan Agensi-agensi yang berkaitan. Ini merupakan penilaian terhadap situasi hak asasi manusia di Malaysia yang keempat. Sebelum ini, penilaian telah dilakukan pada tahun 2009, 2013 dan 2018.

UPR merupakan satu proses antara-kerajaan (intergovernmental process) yang diwujudkan di bawah rangka kerja Majlis Hak Asasi Manusia PBB bagi menilai rekod hak asasi manusia bagi setiap Negara Anggota yang dinilai sekali setiap empat tahun setengah. Ia memberi peluang kepada setiap Negara yang dinilai untuk berkongsi maklumat akan usaha-usaha dan langkah-langkah yang telah diambil bagi meningkatkan tahap hak asasi manusia di negara masing-masing. UPR juga merupakan satu mekanisme kajian semula setara (peer review) yang dilaksanakan atas pendekatan yang konstruktif untuk semua Negara Anggota PBB mengemukakan saranan dan berkongsi amalan-amalan terbaik bagi membantu usaha mempromosi dan melindungi hak asasi manusia.

Laporan Negara mengenai Situasi Hak Asasi Manusia di Malaysia adalah hasil usaha yang menyeluruh dan bersama dengan semua pemegang taruh, yang melibatkan beberapa siri perbincangan termasuk pihak masyarakat madani dan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM). Laporan Negara merangkumi kemajuan yang telah dicapai oleh Malaysia dalam mempromosikan hak asasi manusia bagi tempoh November 2018 hingga Oktober 2023.

Penyertaan Malaysia dalam UPR Keempat mencerminkan komitmen tidak berbelah bahagi Negara dalam usaha memajukan agenda hak asasi manusia di Malaysia. Ia juga mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan Perpaduan, di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim, yang telah menjadikan hak asasi manusia sebagai satu keutamaan dalam agenda pembangunan negara.

 

PUTRAJAYA

25 Januari 2024