SESI PEMUKIMAN AND MESYUARAT SURUHANJAYA ANTARA KERAJAAN ASEAN MENGENAI HAK ASASI MANUSIA (AICHR) KE-40 DI LANGKAWI, KEDAH 11 – 14 FEBRUARI 2025
SESI PEMUKIMAN AND MESYUARAT SURUHANJAYA ANTARA KERAJAAN ASEAN MENGENAI HAK ASASI MANUSIA (AICHR) KE-40
DI LANGKAWI, KEDAH
11 – 14 FEBRUARI 2025
Sesi Pemukiman dan Mesyuarat Suruhanjaya Antara Kerajaan Asean Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) Ke-40 akan berlangsung dari 11 hingga 14 Februari 2025 di Langkawi, Kedah. Ini merupakan mesyuarat pertama AICHR di bawah kepimpinan T.Y.T. Edmund Bon Tai Soon, Wakil Malaysia ke AICHR dan Pengerusi AICHR 2025.
Antara agenda mesyuarat adalah hak mangsa dan mereka yang terselamat dari situasi konflik, inisiatif keamanan dan pembangunan keamanan, deklarasi-deklarasi ASEAN yang dicadangkan mengenai hak alam sekitar, pertumbuhan inklusif, pembangunan mampan dan hak kepada pembangunan.
Wakil dari semua Negara Anggota ASEAN akan turut serta, bersama Wakil AICHR dari Timor-Leste, yang akan hadir sebagai pemerhati.
Sebagai Pengerusi ASEAN dan AICHR bagi 2025, Malaysia akan membentangkan bidang keutamaan dan hasil utama selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN, “Keterangkuman dan Kemampanan”.
Tahun ini, Malaysia berhasrat untuk:
● Memajukan bidang tematik utama seperti hak keamanan, hak pembangunan, perniagaan dan hak asasi manusia, perlindungan alam sekitar, dan perubahan iklim.
● Menangani cabaran hak asasi manusia yang mendesak di rantau ini melalui pendekatan “ASEAN-led” dan “ASEAN-owned”.
● Menambah baik rangka kerja institusi AICHR ke arah peralihan menjadi badan yang lebih berorientasikan perlindungan.
● Meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti bagi menambah baik proses serta mekanisme AICHR.
● Memperkukuh kerjasama AICHR dengan badan sektoral ASEAN dan rakan dialog.
● Memperkukuh penglibatan dengan organisasi masyarakat sivil, dan meningkatkan inklusiviti melalui dialog dan kolaborasi yang berterusan.
Menjelang mesyuarat ini, satu Bengkel Peralihan akan diadakan pada 10 Februari bagi memastikan kesinambungan penyerahan tugas yang lancar antara beberapa Wakil AICHR yang akan tamat perkhidmatan dan Wakil AICHR yang baru dilantik. Bengkel ini akan:
● Mengkaji semula inisiatif terdahulu, berkongsi amalan terbaik, dan menyelaraskan strategi masa depan.
● Menghimpunkan mantan Wakil AICHR dan yang akan tamat perkhidmatan bagi mengekalkan momentum dalam inisiatif yang sedang berjalan dan akan datang.
● Menampilkan dialog dengan organisasi masyarakat sivil yang mempunyai status perundingan dengan AICHR bagi memastikan pelbagai perspektif dimasukkan dalam perbincangan.
Hasil bengkel ini akan membantu memperkayakan perbincangan AICHR, dan memperkukuh komitmen ASEAN terhadap kedaulatan undang-undang, demokrasi, hak asasi manusia, kemampanan dan pembangunan inklusif.
PUTRAJAYA
10 Februari 2025