Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

PERKEMBANGAN TERKINI USAHA MENGESAN RAKYAT MALAYSIA YANG TIDAK DAPAT DIHUBUNGI BERIKUTAN FENOMENA HUJAN LEBAT DI PERGUNUNGAN MANALI, HIMACHAL PRADESH, INDIA

 

PERKEMBANGAN TERKINI USAHA MENGESAN RAKYAT MALAYSIA YANG

TIDAK DAPAT DIHUBUNGI BERIKUTAN FENOMENA HUJAN LEBAT DI

PERGUNUNGAN MANALI, HIMACHAL PRADESH, INDIA

 

Laporan awal yang menyatakan sekumpulan 12 rakyat Malaysia didapati telah gagal dihubungi oleh ahli keluarga berikutan fenomena hujan lebat yang melanda Wilayah Utara India pada 12 Julai 2023 telah dikemaskini. Maklumat terkini yang diperolehi ialah hanya sepuluh (10) rakyat Malaysia yang terlibat manakala dua (2) lagi daripada mereka adalah rakyat China dan British. Kedua-dua rakyat asing tersebut juga dilaporkan dalam keadaan selamat.

Kementerian Luar Negeri melalui Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi ingin mengesahkan telah dapat berhubung dengan salah seorang dari sepuluh (10) rakyat Malaysia tersebut. Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi telah dimaklumkan bahawa kesemua mereka berada dalam keadaan selamat di Manali.

Berikutan perkembangan ini, Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi akan berusaha untuk membawa keluar kumpulan tersebut ke New Delhi pada hari Khamis, 13 Julai 2023. Sekiranya rancangan evakuasi berjalan dengan lancar, kumpulan tersebut dijangka akan mengambil penerbangan pulang ke Malaysia pada hari yang sama.

Kementerian ini ingin mengucapkan terima kasih atas kerjasama dan bantuan segera yang diberikan oleh pihak berkuasa Kerajaan India dalam usaha mengesan kesemua rakyat Malaysia tersebut.

 

PUTRAJAYA

12 Julai 2023