PERKEMBANGAN TERKINI MENGENAI BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA KEPADA SYRIA
PERKEMBANGAN TERKINI MENGENAI
BANTUAN KEMANUSIAAN MALAYSIA KEPADA SYRIA
Pasukan Peninjau Khas ke Damsyik yang diketuai oleh YBhg. Dato' Norman Muhamad, Timbalan Ketua Setiausaha Hubungan Dua Hala, Kementerian Luar Negeri dan disertai oleh 20 ahli yang terdiri wakil daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta wakil Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM) dan MERCY Malaysia, telah berlepas pada 14 Februari 2023. Mereka dijangka tiba di Damsyik melalui jalan darat dari Beirut pada malam ini.
Lawatan Pasukan Peninjau Khas ini adalah amat penting bagi mendapatkan gambaran sebenar dan membuat penilaian di lapangan mengenai bentuk bantuan kemanusiaan yang diperlukan. Pasukan ini juga akan membina jaringan komunikasi dengan pihak berkuasa di Syria termasuk mengenal pasti laluan yang selamat untuk misi penghantaran bantuan ini. Penutupan sementara Kedutaan Besar Malaysia di Syria akibat konflik sejak 2011 menyukarkan usaha awal untuk menghantar bantuan kepada Syria. Memandangkan kawasan yang terjejas dengan gempa bumi di Syria terletak di zon konflik yang berisiko tinggi, misi kemanusiaan ini perlu diselaraskan dengan sebaik- baiknya.
Bagi memastikan bantuan kemanusiaan dari Malaysia sampai segera kepada mangsa gempa bumi di Syria, dua (2) pesawat A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah diarahkan bersiap sedia untuk berlepas ke Lapangan Terbang Antarabangsa Damsyik bagi membawa bantuan kemanusiaan pada Sabtu, 18 Februari 2023. Dalam hal ini, warga Malaysia yang ingin menyumbang barangan keperluan boleh berbuat demikian dengan menghantar ke pusat pengumpulan di bawah seliaan NADMA dan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM) seperti butiran di bawah:
Agensi Pengurusan Bencana Negara Malaysia
Alamat : Markas SMART, NADMA Malaysia
Jalan Pulau Meranti, 47120 Puchong, Selangor Masa
Operasi : 10.00 pagi – 9.00 malam
Tarikh : 15 & 16 Februari 2023 (Rabu & Khamis)
No. Telefon : 03-8064 2400
Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia
Alamat : Lot PT54, Lengkok Belfield, off Jalan Wisma Putra,
Kg Attap, 50460 Kuala Lumpur.
Masa Operasi : 9.00 pagi – 5.00 petang (Isnin - Jumaat)
No. Telefon : 03-2142 8122
Bagi sumbangan secara tunai, KLN mengalu-alukan orang ramai, kumpulan korporat dan perniagaan serta badan bukan kerajaan (NGO) untuk menyalurkan sumbangan melalui Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri (TBKLN). Bagi tujuan rekod dan pengeluaran resit, sila nyatakan butiran sumbangan anda melalui pautan https://tinyurl.com/yck9tnen. Butiran maklumat mengenai TBKLN adalah seperti berikut:
Nama Akaun : Tabung Bencana Kementerian Luar Negeri
Nama Bank : Affin Islamic Bank Berhad, Cawangan Putrajaya
Nombor Akaun : 1054 9000 0599
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai Tabung ini boleh dimajukan kepada pihak Sekretariat TBKLN (tbkln@kln.gov.my). Sumbangan yang dibuat adalah layak untuk mendapatkan pengecualian cukai pendapatan di bawah Subseksyen 44(6) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.
PUTRAJAYA
15 Februari 2023