Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

PERBUALAN TELEFON DI ANTARA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN PRESIDEN MESIR ABDEL FATTAH EL-SISI 22 FEBRUARI 2024

 

PERBUALAN TELEFON DI ANTARA YAB PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN

PRESIDEN MESIR ABDEL FATTAH EL-SISI

22 FEBRUARI 2024

 

Pada 22 Februari 2024, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia, mengadakan perbualan telefon selama 20 minit dengan TYT Abdel Fattah El-Sisi, Presiden Republik Arab Mesir.

Semasa panggilan tersebut, YAB Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada Presiden Sisi di atas kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Presiden Mesir Disember lalu. Kedua-dua pemimpin membincangkan hubungan Malaysia-Mesir dan mengutarakan komitmen bersama untuk meningkatkan hubungan di antara kedua negara. YAB Perdana Menteri turut memanjangkan jemputan kepada Presiden Sisi untuk melawat Malaysia pada penghujung tahun ini.

Sebahagian besar perbualan antara kedua-dua pemimpin tertumpu kepada situasi genting di Gaza, khususnya serangan Israel baru-baru ini di Rafah. Kedua-dua pemimpin mengulangi sokongan mereka yang teguh terhadap perjuangan Palestin dan menyeru untuk penghentian segera konflik dan gencatan senjata kekal. Mereka turut menyatakan kekecewaan terhadap kegagalan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk mencapai kata sepakat dalam menyeru penghentian segera pertempuran di Gaza baru-baru ini.

YAB Perdana Menteri juga mengucapkan rasa terima kasih kepada Presiden Sisi dan Kerajaan Mesir kerana memudahkan penghantaran bantuan kemanusiaan yang sangat diperlukan kepada rakyat Palestin di Gaza. Dengan bantuan dari Kerajaan Mesir, Malaysia berjaya menghantar 100 tan bantuan kemanusiaan (bernilai USD1.2 juta) melalui Bulan Sabit Merah Mesir (ERC). Penghantaran berterusan, termasuk 100,000 bungkusan makanan, ubat-ubatan dan peralatan perubatan, dijalankan dengan sokongan penuh dari pihak berkuasa Mesir.

Selain itu, YAB Perdana Menteri mengucapkan terima kasih kepada Presiden Sisi di atas kesudian untuk memudahcara lawatan delegasi ahli Parlimen Malaysia yang dipimpin oleh YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri, ke Mesir dari 21 hingga 24 Februari 2024. Delegasi ini mendapat akses khas untuk melawat sempadan Rafah pada 23 Februari 2024 dan mengambil peluang untuk mengadakan pertemuan dengan ahli Kerajaan Mesir serta wakil-wakil Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS). Lawatan ini menekankan komitmen Malaysia terhadap perjuangan Palestin dan menangani keperluan kemanusiaan yang mendesak di Gaza.

YAB Perdana Menteri memberi jaminan kepada Presiden Sisi bahawa Malaysia akan terus membantu rakyat Palestin dengan menyediakan sokongan kewangan tambahan kepada United Nations Relief and Works Agency for Palestine Refugees in the Near East (UNRWA), berikutan keputusan beberapa negara baru-baru untuk menghentikan sokongan kewangan mereka kepada UNRWA.

Kedua-dua pemimpin turut membincangkan cadangan lawatan Prof. Dr. Sheikh Ahmed El Tayeb, Sheikh Al Azhar, ke Malaysia pada bulan Julai tahun ini. Lawatan ini dirancang sejajar dengan program yang dianjurkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

 

PUTRAJAYA

23 February 2024