Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

PENYERTAAN MALAYSIA DI SESI PENDENGARAN AWAM BAGI MENDAPATKAN PENDAPAT NASIHAT MAHKAMAH KEADILAN ANTARABANGSA (ICJ) BERHUBUNG ISU PALESTIN DI PEACE PALACE, THE HAGUE

 

PENYERTAAN MALAYSIA DI SESI PENDENGARAN AWAM BAGI MENDAPATKAN

PENDAPAT NASIHAT MAHKAMAH KEADILAN ANTARABANGSA (ICJ)

BERHUBUNG ISU PALESTIN DI PEACE PALACE, THE HAGUE

 

YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri telah menyampaikan Kenyataan Lisan Malaysia pada 22 Februari 2024 di Sesi Pendengaran Awam berhubung permohonan bagi mendapatkan Pendapat Nasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mengenai Kesan Perundangan yang timbul daripada Dasar dan Amalan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki, termasuk Baitulmaqdis Timur, yang diadakan di Peace Palace, The Hague.

YB Menteri Luar Negeri menekankan Malaysia sentiasa menyokong perjuangan Palestin dan berpandangan bahawa Mahkamah Keadilan Antarabangsa mempunyai peranan khusus untuk memberi panduan dalam persoalan undang-undang yang dikemukakan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) berhubung isu Palestin.

YB Menteri Luar Negeri menegaskan bahawa dasar dan amalan Israel di Wilayah Palestin yang Diduduki telah melanggar undang-undang antarabangsa di samping mencabul hak rakyat Palestin untuk penentuan nasib sendiri. Malaysia berpendirian bahawa pendudukan (occupation) Israel ke atas wilayah Palestin adalah menyalahi undang-undang dan perlu dihentikan serta-merta.

Malaysia menekankan Israel perlu menghentikan pencabulan berterusan ke atas hak rakyat Palestin dan keluar dari Wilayah Palestin yang Diduduki dengan serta-merta. Malaysia menyeru agar semua negara tidak berkompromi dengan tindakan dan pendudukan haram Israel ke atas wilayah Palestin di samping menekankan kewajipan PBB untuk melaksanakan tanggungjawabnya berhubung isu Palestin.

Selain Malaysia, lebih kurang 50 buah negara dan tiga Badan Pertubuhan Antarabangsa telah menyertai Sesi Pendengaran Awam ini.

Semasa di The Hague, YB Menteri Luar Negeri telah mengadakan pertemuan bersama TYT Riad Malki, Menteri Luar Negeri dan Ekspatriat Palestin. Mereka telah membincangkan mengenai situasi terkini di Palestin dan sebulat suara bersetuju untuk semua pihak berganding bahu dan mengambil tindakan tegas dalam menghentikan kekejaman di Gaza.

Malaysia kekal komited dalam memperjuangkan isu Palestin dan akan meneruskan usaha ke arah penubuhan negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara, dan Palestin diterima sebagai Anggota penuh PBB.

 

PUTRAJAYA

23 Februari 2024