Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

MISI KEMANUSIAAN UNTUK RAKYAT PALESTIN

MISI KEMANUSIAAN UNTUK RAKYAT PALESTIN

 

Timbalan Menteri Luar Negeri, YB Dato’ Kamarudin Jaffar, bagi pihak YB Menteri dan Kementerian Luar Negeri, telah menerima panggilan

telefon daripada Ustaz Ebit Lew pada 25 Mei 2021 untuk memaklumkan mengenai misi kemanusiaan untuk rakyat Palestin yang akan

dijalankan dari 25 hingga 30 Mei 2021. Misi kemanusiaan ke Mesir ini bertujuan memberikan sumbangan kepada rakyat Palestin yang

telah terkesan teruk ekoran serangan rejim Israel ke atas Gaza.

 

Urusan yang melibatkan misi tersebut telah dirancang oleh delegasi Ustaz Ebit Lew secara terus dengan rakan Pertubuhan Bukan

Kerajaan (Non-Governmental Organisation – NGO) yang berada di Mesir. Segala persiapan dan persediaan dilakukan oleh pihak Ustaz

Ebit Lew sendiri, menerusi kerjasama rapat dengan rakan NGO di Mesir. Misi kemanusiaan ini juga telah mendapat kelulusan perjalanan

dan tertakluk kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) semasa. Semua SOP dalam negara yang sedang berkuatkuasa harus dipatuhi

apabila delegasi kembali ke Malaysia.

 

Biarpun misi ini merupakan inisiatif delegasi Ustaz Ebit Lew sendiri, namun saya telah menasihati delegasi Ustaz Ebit Lew agar sentiasa

berhubung, bekerjasama rapat dan mendengar setiap arahan keselamatan daripada pihak Kedutaan Besar Malaysia di Mesir. Selain itu,

segala peraturan, prosedur dan arahan keselamatan yang ditetapkan oleh negara tuan rumah juga mesti dipatuhi. Ini penting terutamanya

demi memastikan keselamatan Ustaz Ebit Lew dan delegasi beliau sepanjang di perantauan kelak.

 

Secara dasarnya, Kementerian Luar Negeri menyokong penuh usaha delegasi Ustaz Ebit Lew ini dan pada masa yang sama sentiasa

mengalu-alukan rakan-rakan NGO yang lain untuk turut menggerakkan pelbagai lagi usaha bagi membantu rakyat Palestin. Ini

termasuklah dengan cara mewujudkan tabung-tabung bagi mengumpul dana bantuan kemanusiaan khusus untuk rakyat Palestin. Dalam

perkara ini, sekiranya diperlukan Kementerian Luar Negeri boleh membantu untuk menyalurkan dana yang telah selesai dikumpul oleh

NGO-NGO ini kepada pihak berwajib di Palestin melalui Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) di bawah seliaan

Kementerian Luar Negeri.

 

 

Dalam pada itu, saya juga ingin memaklumkan, selain membantu mempermudahkan usaha NGO, Kerajaan juga melalui Kementerian Luar

Negeri akan terus menggerakkan usaha bantuan kemanusiaan untuk rakyat Palestin.

 

 

 

DATO’ KAMARUDIN JAFFAR

TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI

PUTRAJAYA

25 MEI 2021