Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN ke-56 (AMM ke-56) DAN MESYUARAT-MESYUARAT BERKAITAN, 11 - 14 JULAI 2023

 

MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN ke-56 (AMM ke-56) DAN

MESYUARAT-MESYUARAT BERKAITAN, 11 - 14 JULAI 2023

 

Menteri Luar Negeri Malaysia, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN ke-56 (AMM ke-56) dan Mesyuarat-Mesyuarat berkaitan dari 11 hingga 14 Julai 2023 di Jakarta, Indonesia.

Pada AMM ke-56 ini, Dr. Zambry dijadualkan menyertai beberapa mesyuarat seperti berikut:

  1. Pasca Persidangan Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN +1 (PMC +1) dengan negara-negara rakan dialog secara berasingan [Amerika Syarikat, Australia, China, India, Japan, Kanada, Kesatuan Eropah, New Zealand, ROK, Rusia dan UK];
  2. Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN Campur Tiga ke-24 (APT FMM ke- 24);
  3. Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri Sidang Kemuncak Asia Timur ke-13;
  4. Mesyuarat     Suruhanjaya Kawasan       Bebas Senjata        Nuklear          Asia Tenggara (SEANWFZ);
  5. Mesyuarat Suamuka (Interface) bersama wakil-wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR); dan
  6. Forum Serantau ASEAN ke-30 (ARF ke-30).

 

YB Menteri Luar Negeri dan Menteri Luar Kanada akan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat PMC +1 dengan Kanada kerana Malaysia merupakan Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Kanada bagi tempoh 2021-2024.

Semasa AMM ke-56, Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka akan membincangkan perkara-perkara berikut iaitu :

  1. Kemajuan Pembangunan Komuniti ASEAN;
  2. Keutamaan dan Hasil Utama ASEAN di bawah Kepengerusian ASEAN oleh Indonesia;
  1. Pelaksanaan kerjasama di bawah ASEAN Outlook on the Indo-Pacific; dan
  2. Isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

 

Para Menteri Luar Negeri juga akan membincangkan persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-43 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, yang dijadualkan pada September 2023 di Indonesia.

AMM ke-56 merupakan platform yang baik kepada Malaysia untuk berkongsi dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu berkepentingan bersama termasuklah usaha-usaha pemulihan ekonomi, rantaian bekalan global, keterjaminan makanan, perubahan iklim dan peralihan tenaga.

Penyertaan Malaysia ke AMM ke-56 dan Mesyuarat-Mesyuarat Berkaitan mencerminkan komitmen Malaysia dalam mengekalkan keamanan, kestabilan, dan kemakmuran di Asia Tenggara terutamanya apabila rantau ini menghadapi ketidaktentuan pada aspek keselamatan dan sosio-ekonomi.

YB Menteri Luar juga dijangka akan mengadakan pertemuan dua hala dengan beberapa rakan sejawat dari Amerika Syarikat, China, India, Kanada, Norway, Bangladesh, Singapura dan Timot Leste.

Pada akhir AMM ke-56 dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan, Menteri-Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka memperakukan beberapa dokumen, termasuk Kenyataan Bersama AMM ke-56 yang akan memperincikan hasil perbincangan serta keputusan strategik yang dicapai semasa mesyuarat-mesyuarat tersebut.

 

PUTRAJAYA

10 Julai 2023