Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN ke-54 (AMM ke-54) DAN MESYUARAT BERKAITAN, 2-7 OGOS 2021, MELALUI PERSIDANGAN VIDEO

 

MESYUARAT MENTERI-MENTERI LUAR NEGERI ASEAN ke-54 (AMM ke-54)

DAN MESYUARAT BERKAITAN, 2-7 OGOS 2021, MELALUI PERSIDANGAN VIDEO

 

Menteri Kanan Luar Negeri Malaysia, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-54 (AMM Ke-54) dan Mesyuarat – Mesyuarat berkaitan secara persidangan video mulai 2 hingga 7 Ogos 2021. Selaku Pengerusi ASEAN 2021, kesemua mesyuarat tersebut akan dihoskan oleh Brunei Darussalam.

 

Semasa AMM ke-54, Menteri Luar Negeri ASEAN akan membincangkan kemajuan Pembangunan Komuniti ASEAN, Keutamaan dan Hasil Utama ASEAN termasuk strategi bersama pemulihan sosio-ekonomi COVID-19, pelaksanaan Pelan Pembangunan Keselamatan Politik ASEAN 2025, isu-isu serantau serta persiapan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 dan Mesyuarat – Mesyuarat yang Berkaitan, yang dijadualkan pada Oktober 2021.

 

Secara keseluruhannya, sepanjang enam hari AMM Ke-54, YB Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein dijadual menyertai mesyuarat-mesyuarat seperti berikut:

 

1.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN Ke-54

2.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN+3 Ke-22 (APT FMM Ke-22)

3.  Mesyuarat Suruhanjaya Kawasan Bebas Senjata Nuklear Asia Tenggara (SEANWFZ)

4.  Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-23

5.  Mesyuarat Majlis Penyelarasan ASEAN (ACC) ke-29

6.  Mesyuarat Suamuka (interface) bersama wakil-wakil Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR)

7.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – ROK

8.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN-China

9.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Jepun

10.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Amerika Syarikat

11.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Australia (Mempengerusikan Bersama)

12.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Russia

13.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri Sempena Sidang Kemuncak Asia Timur Ke-11 (EAS FMM Ke-11)

14.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Kanada

15.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – New Zealand

16.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – India

17.  Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Kesatuan Eropah (EU)

18.  Forum Serantau ASEAN ke-28 (ARF Ke-28)

 

Malaysia merupakan Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia bagi tempoh 2018-2021. Dato' Seri Hishammuddin dan rakan sejawatnya dari Australia, Senator Marise Payne, Menteri Luar Negeri dan Menteri Wanita Australia, akan mempengerusikan secara bersama Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Australia.

 

Di akhir mesyuarat ini, Malaysia akan menyerahkan peranan sebagai Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN-Australia kepada Lao PDR. Malaysia juga akan mengambil alih peranan Negara Penyelaras untuk hubungan dialog ASEAN – Kanada daripada Myanmar selepas Mesyuarat Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN – Kanada.

 

Di akhir AMM Ke-54 dan Mesyuarat – Mesyuarat Berkaitan, Menteri – Menteri Luar Negeri ASEAN dijangka memperakukan beberapa dokumen, termasuk Kenyataan Bersama AMM Ke-54 yang akan memperincikan hasil perbincangan serta keputusan strategik yang dicapai semasa mesyuarat-mesyuarat tersebut.

 

PUTRAJAYA

1 OGOS 2021