MALAYSIA TEGAS TANGANI SINDIKET PENIPUAN PEKERJAAN: FOKUS UTAMA PENGERUSI ASEAN 2025
MALAYSIA TEGAS TANGANI SINDIKET PENIPUAN PEKERJAAN:
FOKUS UTAMA PENGERUSI ASEAN 2025
Kementerian Luar Negeri memandang serius isu sindiket penipuan tawaran pekerjaan dan ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), bersama-sama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain serta pihak media, atas usaha berterusan mereka dalam menarik perhatian terhadap nasib rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan pekerjaan di seluruh rantau ini.
Seiring dengan peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, isu ini telah diberi keutamaan dalam agenda serantau. Malaysia telah mengambil langkah konkrit untuk membangkitkan perkara ini bersama Negara-Negara Anggota ASEAN, termasuk:
1. Semasa Mesyuarat Pemukiman Menteri-Menteri Luar ASEAN pada Januari 2025 di Langkawi, para Menteri Luar telah mengulangi komitmen bersama untuk membanteras jenayah rentas negara, termasuk penyeludupan manusia, pemerdagangan orang, pengedaran dadah, jenayah siber, pengubahan wang haram dan ancaman penipuan dalam talian yang semakin meningkat.
2. Semasa Mesyuarat Majlis Komuniti Politik-Keselamatan ASEAN (APSC) ke-29 yang diadakan bersempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, Malaysia telah menekankan keperluan mendesak untuk tindakan tegas dalam menangani jenayah rentas sempadan yang semakin berleluasa. Para Menteri ASEAN telah bersetuju untuk mengkaji semula Pelan Tindakan ASEAN untuk Membanteras Jenayah Rentas Sempadan (2016–2025), dengan tujuan memperkukuh kerjasama dan mekanisme penyelarasan serantau, serta memastikan dokumen pengganti—yang sedang dibangunkan—mampu menangani ancaman jenayah baharu dan yang sedang berkembang.
3. Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46, ASEAN telah menyatakan komitmen untuk mempergiatkan kerjasama melalui tindakan konkrit, selaras dengan peranan penting Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Mengenai Jenayah Rentas Sempadan (AMMTC) dalam memimpin kerjasama penguatkuasaan undang-undang dan menangani jenayah rentas sempadan, khususnya ancaman penipuan dalam talian dan pemerdagangan orang (TIP) yang semakin meningkat di rantau ini.
Malaysia kekal komited sepenuhnya untuk bekerjasama rapat dengan rakan-rakan ASEAN dan semua pihak berkepentingan, termasuk masyarakat sivil, bagi memperkukuh langkah pencegahan, meningkatkan kerjasama serantau dan memastikan perlindungan untuk semua mangsa.
PUTRAJAYA
30 Mei 2025