MALAYSIA MENYAMBUT BAIK RESOLUSI PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU YANG MENEGAKKAN MANDAT PBB SERTA ORGANISASI ANTARABANGSA DI PALESTIN
MALAYSIA MENYAMBUT BAIK RESOLUSI PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN
BANGSA-BANGSA BERSATU YANG MENEGAKKAN MANDAT PBB SERTA ORGANISASI
ANTARABANGSA DI PALESTIN
Malaysia menyambut baik Resolusi yang diluluskan oleh Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 19 Disember 2024 bagi memohon Pendapat Nasihat dari Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengenai tanggungjawab Israel ke atas kehadiran dan kegiatan PBB, Organisasi Antarabangsa dan Negara-negara ketiga di Wilayah Palestin yang Diduduki.
Resolusi ini yang telah dibentangkan oleh Negara-negara Sepemikiran termasuk Malaysia di bawah agenda “Memperkukuhkan Sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu”, merupakan tindakan balas terhadap keputusan Rejim Zionis Israel mengharamkan operasi Agensi Bantuan dan Kerja untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA) di Gaza, Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur.
Resolusi ini mencerminkan keazaman masyarakat antarabangsa untuk menangani krisis kemanusiaan di Wilayah Palestin yang Diduduki, memastikan keselamatan orang awam dan kakitangan PBB, dan melindungi peranan penting PBB dalam usaha-usaha merealisasikan penyelesaian yang adil, berkekalan dan menyeluruh kepada perjuangan Palestin.
Malaysia akan meneruskan usaha-usaha ke arah merealisasikan hak penentuan nasib sendiri dan keadilan untuk rakyat Palestin, selaras dengan undang-undang antarabangsa dan Piagam PBB termasuk melalui proses-proses perundangan di Mahkamah Keadilan Antarabangsa.
PUTRAJAYA
20 Disember 2024