Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

MALAYSIA MENYAMBUNG KEAHLIAN DALAM KUMPULAN TINDAKAN MENTERI-MENTERI KOMANWEL

 

MALAYSIA MENYAMBUNG KEAHLIAN DALAM

KUMPULAN TINDAKAN MENTERI-MENTERI KOMANWEL 

 

Malaysia telah dipilih untuk menyambung keahliannya dalam Kumpulan Tindakan Menteri-Menteri Komanwel (CMAG) bagi penggal ketiga, berturut-turut, untuk tempoh 2024-2026. Pemilihan Malaysia telah diperakukan oleh Mesyuarat Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Komanwel (CHOGM) dalam Persidangan di CHOGM 2024 pada 26 Oktober, di Apia, Samoa.

Malaysia akan berkhidmat dalam CMAG bersama-sama dengan Antigua & Barbuda, Botswana, Grenada, Kanada, Malta, Mauritius, Samoa dan Zambia.

CMAG telah diwujudkan oleh Ketua-Ketua Negara dan Kerajaan Komanwel pada tahun 1995. CMAG diberi mandat sebagai pemegang amanah bagi nilai-nilai politik teras Komanwel dan bertanggungjawab memantau, menasihat dan membantu negara-negara yang mengalami pergolakan dalaman di mana berlakunya pelanggaran ketara dan berterusan ke atas nilai-nilai yang diterajui oleh Komanwel.

Penglibatan Malaysia dalam CMAG telah bermula sejak 1995 di mana Malaysia telah berkhidmat bagi tempoh 1995-2002, 2005-2009 dan 2018-2024. Pemilihan Malaysia bagi kali ketiga berturut menandakan pengiktirafan Komanwel terhadap Malaysia dalam memperjuangkan nilai-nilai tadbir urus yang baik, pematuhan undang-undang dan penghayatan hak asasi manusia, selaras dengan mandat CMAG.

 

PUTRAJAYA

26 Oktober 2024