Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

MALAYSIA MENGUTUK PENINGKATAN PENCEROBOHAN ISRAEL DI GAZA DAN NEGARA SERANTAU

MALAYSIA MENGUTUK PENINGKATAN PENCEROBOHAN ISRAEL DI GAZA

DAN NEGARA SERANTAU

 

Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya rancangan Israel untuk mewujudkan “kependudukan berterusan” di Gaza dengan mengusir lebih dua juta penduduk Palestin secara paksa dari wilayah tersebut. Penguasaan ketenteraan terhadap bantuan kemanusiaan serta pengusiran sistematik terhadap orang awam merupakan pelanggaran secara terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa. Ini memaparkan sikap angkuh Israel yang terus-menerus mencabar peraturan serta norma undang-undang tersebut.

Pengusiran secara paksa dan menggunakan kebuluran sebagai senjata adalah jenayah perang. Malaysia menolak sebarang alasan atau justifikasi yang menghalau rakyat Palestin dari Gaza. Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk pembersihan etnik.

Kini, pencerobohan Israel telah melangkaui sempadan Palestin. Serangan udara ke atas pelabuhan Hodeidah di Yaman, Lapangan Terbang Antarabangsa Sanaa, serta beberapa lokasi lain di rantau itu menunjukkan kekejaman berleluasa Israel yang mengancam nyawa orang awam serta kestabilan serantau. Ini membuktikan bahawa Israel terus menerus melanggar undang-undang antarabangsa. Sikap tidak endah Israel mesti dihentikan dan semua pelaku mesti dibawa ke muka pengadilan.

Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa, melalui Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), untuk segera mengambil tindakan.

Malaysia sekali lagi menegaskan sokongan tidak berbelah bahagi terhadap hak rakyat Palestin untuk menentukan nasib sendiri serta penubuhan sebuah Negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan pra-1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara. Sekatan ke atas Gaza dan serangan ke atas orang awam mesti dihentikan serta-merta.

 

PUTRAJAYA

8 Mei 2025