Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

MALAYSIA MENGECAM SEKERAS-KERASNYA SERANGAN ISRAEL KE ATAS REPUBLIK ISLAM IRAN

MALAYSIA MENGECAM SEKERAS-KERASNYA SERANGAN ISRAEL KE ATAS

REPUBLIK ISLAM IRAN

 

Malaysia mengecam sekeras-kerasnya serangan oleh rejim Zionis Israel ke atas Republik Islam Iran pada 13 Jun 2025. Serangan Israel ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa termasuk Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan menimbulkan ancaman serius ke atas keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Tindakan keganasan Israel tanpa provokasi ini bukan sahaja mengakibatkan kematian beberapa anggota tentera Iran, tetapi juga orang awam yang tidak berdosa dan memusnahkan infrastruktur kritikal di beberapa kawasan sekitar Iran.

Malaysia menyeru masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB untuk mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim Zionis Israel dan memastikan rejim tersebut dipertanggungjawabkan berdasarkan undang-undang antarabangsa termasuk Piagam PBB.

Di saat yang genting ini, semua usaha mesti diambil untuk mengelakkan peningkatan ketegangan dan potensi implikasi yang boleh menggugat kestabilan rantau. Dalam konteks ini, Malaysia menyokong usaha berterusan Amerika Syarikat dan Iran untuk menyambung semula dialog diplomatik mengenai program nuklear Iran.

Malaysia sekali lagi menegaskan pendirian konsisten negara agar semua pihak mendukung undang-undang antarabangsa di mana setiap konflik perlu diselesaikan melalui dialog dan diplomasi yang kukuh bagi memastikan keamanan yang menyeluruh dan berkekalan.


PUTRAJAYA

13 Jun 2025