MALAYSIA HANTAR PASUKAN BANTUAN KEMANUSIAAN KE MYANMAR SUSULAN GEMPA BUMI SERANTAU
MALAYSIA HANTAR PASUKAN BANTUAN KEMANUSIAAN KE MYANMAR SUSULAN GEMPA
BUMI SERANTAU
Selaras dengan komitmen berterusan Malaysia terhadap solidariti serantau dan respons kemanusiaan, Kerajaan Malaysia melalui Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan menghantar satu Pasukan Bantuan Kemanusiaan dan Bantuan Bencana (HADR) yang terdiri daripada 50 anggota ke Yangon, Myanmar pada hari Ahad, 30 Mac 2025. Penghantaran ini merangkumi seorang Komander Kontinjen dan 49 anggota penyelamat bagi menyokong operasi bantuan kemanusiaan dan bencana.
Penghantaran bersepadu ini menggantikan rancangan awal untuk mengerahkan dua pasukan secara berperingkat, susulan kemas kini operasi terkini daripada pihak NADMA. Menerusi misi ini, Malaysia berhasrat untuk memaksimumkan impak dan keberkesanan bantuan yang disalurkan, serta memastikan sumber diagihkan dengan segera ke kawasan keutamaan yang telah dikenal pasti.
Keputusan untuk menghulurkan bantuan ini diambil susulan kejadian gempa bumi yang melanda kawasan tengah Myanmar, utara Thailand dan sebahagian selatan China, yang telah mengorbankan banyak nyawa serta menyebabkan kemusnahan besar. YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam mesej yang dikongsikan pada 28 Mac 2025 menzahirkan rasa dukacita terhadap skala kemusnahan tersebut serta merakamkan ucapan takziah dari Malaysia kepada para mangsa dan keluarga mereka. Beliau turut menegaskan solidariti Malaysia bersama negara-negara jiran ASEAN serta menyatakan kesediaan Malaysia untuk terus menyokong usaha bantuan dan pemulihan.
YB Dato' Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri mengulangi komitmen ini, sambil menegaskan bahawa ASEAN bersedia untuk membantu Myanmar dan Thailand dalam usaha tindak balas bencana, selaras dengan keutamaan yang ditetapkan oleh kedua-dua negara. Beliau turut menyatakan bahawa Negara-Negara Anggota ASEAN akan berkoordinasi secara rapat melalui Pusat Penyelarasan ASEAN bagi Bantuan Kemanusiaan dalam Pengurusan Bencana (AHA Centre), bagi memastikan bantuan kemanusiaan disampaikan dengan segera, tepat dan berkesan.
Kementerian Luar Negeri sedang menyelaras segala keperluan visa dan logistik bagi misi ini. Kedutaan Besar Malaysia di Yangon juga akan memberi sokongan kepada operasi pasukan tersebut semasa mereka di Myanmar, termasuk penyelarasan bersama pihak berkuasa tempatan.
Malaysia kekal teguh dalam komitmennya terhadap kerjasama serantau dan akan terus menyumbang secara bermakna kepada usaha bantuan kemanusiaan dan pengurusan bencana di seluruh ASEAN. Dalam semangat tanggungjawab bersama, Malaysia berdiri teguh bersama semua komuniti yang terjejas dalam tempoh pemulihan ini.
PUTRAJAYA
29 Mac 2025