Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

MALAYSIA AKAN MENGANJURKAN CEAPAD IV BAGI MENGGERAKKAN USAHA PEMBANGUNAN SEMULA PALESTIN

MALAYSIA AKAN MENGANJURKAN CEAPAD IV BAGI MENGGERAKKAN USAHA

PEMBANGUNAN SEMULA PALESTIN

 

Selaras dengan kenyataan yang dibuat oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri pada 29 Januari 2025 mengenai keperluan mendesak untuk mempercepatkan usaha pembangunan semula Gaza dan Palestin, Kementerian Luar Negeri komited sepenuhnya untuk bekerjasama dengan Jepun di bawah rangka kerja Persidangan Kerjasama Antara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) bagi menjawab seruan mendesak rakyat Palestin untuk mendapatkan bantuan.

Bagi menyahut usaha ini, Malaysia akan turut serta dalam pembangunan semula infrastruktur penting, termasuk sebuah sekolah, hospital, dan masjid, sebagai bukti komitmen bersama Kerajaan, sektor swasta, dan rakyat Malaysia dalam menyokong usaha pemulihan Palestin.

Kementerian Luar Negeri kini sedang menyelaras dengan Jepun bagi menganjurkan Mesyuarat Menteri-Menteri CEAPAD Ke-4 (CEAPAD IV) di Malaysia pada tahun ini. Inisiatif ini mencerminkan peranan proaktif Malaysia dalam mendapatkan sokongan antarabangsa serta menggalakkan kerjasama bagi memastikan usaha pembangunan semula Palestin dapat dilaksanakan secara mampan dan berkesan.

Malaysia dan Jepun akan berunding dengan peserta CEAPAD bagi mendapatkan komitmen dan sokongan yang diperlukan untuk memastikan kejayaan usaha kumpulan ini dalam membangunkan semula Gaza. Ini termasuk satu siri mesyuarat penyelarasan sebelum persidangan bagi memastikan bantuan dan sumbangan kepada Palestin disalurkan dengan lebih cekap, tersusun, dan mampan untuk pembangunan jangka panjang.

Fokus utama CEAPAD IV akan merangkumi program pembangunan kapasiti, penyediaan bantuan kemanusiaan yang menyeluruh, dan pembangunan semula infrastruktur kritikal di Palestin. Bidang-bidang ini penting dalam memperkukuh institusi Palestin serta meningkatkan kesejahteraan rakyatnya, sejajar dengan komitmen teguh Malaysia terhadap kedaulatan dan hak penentuan nasib sendiri bagi Palestin.

CEAPAD merupakan platform serantau yang diterajui oleh Jepun sejak tahun 2013 bagi menyokong usaha pembinaan negara Palestin dengan memanfaatkan sumber, pengetahuan, dan pengalaman pembangunan ekonomi negara-negara Asia Timur. Mesyuarat Peringkat Pegawai CEAPAD yang terbaru pada 18 Julai 2024 telah mengulangi keperluan mendesak untuk meningkatkan penyelarasan dalam menangani krisis kemanusiaan di Gaza, serta kepentingan pemulihan dan pembangunan jangka panjang, termasuk reformasi tadbir urus bagi memastikan pembangunan mampan untuk Palestin. 

Malaysia kekal memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap perjuangan rakyat Palestin dan akan terus bekerjasama dengan rakan serantau dan antarabangsa bagi memastikan CEAPAD IV diterjemahkan kepada tindakan nyata yang menyokong pembangunan semula dan kestabilan jangka panjang Palestin.

 

PUTRAJAYA

31 Januari 2025