Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

MAJLIS HAK ASASI MANUSIA PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU MEMPERAKUKAN RESOLUSI BERTAJUK "PROMOTING HUMAN RIGHTS AND SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS THROUGH TRANSPARENT, ACCOUNTABLE AND EFFICIENT PUBLIC SERVICES DELIVERY”

MAJLIS HAK ASASI MANUSIA PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU

MEMPERAKUKAN RESOLUSI BERTAJUK "PROMOTING HUMAN RIGHTS AND

SUSTAINABLE DEVELOPMENT GOALS THROUGH TRANSPARENT,

ACCOUNTABLE AND EFFICIENT PUBLIC SERVICES DELIVERY”

 

Majlis Hak Asasi Manusia (MHAM) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Geneva, pada 3 April 2023 telah menerima pakai resolusi bertajuk "Promoting Human Rights and Sustainable Development Goals through Transparent, Accountable and Efficient Public Services Delivery”.

Resolusi ini ditaja bersama oleh Malaysia, Azerbaijan, Georgia, Thailand, Türkiye, Kenya dan Ecuador semasa Sesi ke-52 MHAM.

Resolusi ini mendorong negara-negara untuk mempromosi, menerapkan dan mengintegrasikan prinsip-prinsip hak asasi manusia dalam perkhidmatan awam. Ia juga mendorong pertukaran maklumat dan amalan terbaik secara sukarela termasuk pendigitalan perkhidmatan awam. Resolusi ini turut menggalakkan pembinaan kapasiti dan latihan dalam bidang hak asasi manusia, kesamarataan jantina, kedaulatan undang- undang dan tadbir urus yang baik.

Resolusi ini mencerminkan usaha Malaysia untuk memajukan hak asasi manusia dan matlamat pembangunan mampan (SDGs), selaras dengan 'Malaysia Madani' yang telah diilhamkan oleh YAB Perdana Menteri. Resolusi ini juga selaras dengan nilai-nilai teras Madani dalam memperkasakan penyampaian perkhidmatan awam melalui ketelusan, akauntabiliti dan integriti.

Resolusi ini menzahirkan kesungguhan negara-negara penaja untuk menyumbang kepada mandat MHAM dalam memajukan agenda hak asasi manusia global.

 

PUTRAJAYA

4 April 2023