Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE PERSEKUTUAN RUSIA 13 – 16 MEI 2025

LAWATAN RASMI YAB PERDANA MENTERI KE PERSEKUTUAN RUSIA

13 – 16 MEI 2025 

 

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan rasmi ke Persekutuan Rusia dari 13 hingga 16 Mei 2025. Beliau akan berada di Moscow dari 13 hingga 15 Mei 2025, dan Kazan, Republik Tatarstan pada 15 dan 16 Mei 2025 bagi menghadiri Forum Ekonomi Antarabangsa XVI “Russia-Islamic World: KazanForum”.

YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri; YB Datuk Seri Haji Mohamad bin Sabu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; YB Tuan Chang Li Kang, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi; YB Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abdul Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi; dan YB Datuk Seri Johari bin Abdul Ghani, Menteri Perladangan dan Komoditi.

Di Moscow, YAB Perdana Menteri akan mengadakan mesyuarat peringkat tertinggi dengan TYT Vladimir Putin, Presiden Rusia dan TYT Mikhail Mishustin, Perdana Menteri Rusia. Mesyuarat ini bertujuan menilai kemajuan hubungan dua hala serta memperkukuh kerjasama dalam pelbagai bidang, termasuk perdagangan dan pelaburan, pertanian dan agri-komoditi, pendidikan, aeroangkasa dan tenaga. Kedua-dua pemimpin juga dijangka bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama. Sebagai Pengerusi ASEAN bagi tahun 2025, Malaysia turut berhasrat meneroka peluang untuk memperkasakan kerjasama menerusi kerangka Hubungan Dialog ASEAN-Rusia.

YAB Perdana Menteri turut dijadual mengadakan sesi meja bulat bersama pemimpin industri; menyampaikan syarahan umum di Moscow State Institute of International Relations (MGIMO); serta mengadakan pertemuan bersama diaspora Malaysia di Moscow.

Di Kazan, YAB Perdana Menteri dijadual mengadakan pertemuan dengan TYT Rustam Minnikhanov, Rais Republik Tatarstan, dan menyampaikan ucaptama khas semasa Mesyuarat Kumpulan Visi Strategik “Russia-Islamic World.” Kemuncak bagi lawatan YAB Perdana Menteri di Kazan adalah penyertaan beliau dalam Forum Ekonomi Antarabangsa XVI “Russia-Islamic World: KazanForum” dimana beliau telah dijemput untuk menyampaikan ucaptama di sesi pleno. KazanForum merupakan platform utama bagi memupuk kerjasama ekonomi antara Rusia dan negara-negara Islam.

Lawatan ini mencerminkan komitmen berterusan Malaysia untuk memperkukuh hubungan dua hala dengan Rusia di samping memperkasa kerangka kerjasama serantau dan pelbagai hala seperti ASEAN dan BRICS.

Pada tahun 2024, Rusia merupakan rakan dagang kesembilan terbesar Malaysia dalam kalangan negara-negara Eropah, dengan jumlah dagangan mencecah RM11.46 bilion (USD2.48 bilion). Eksport utama Malaysia ke Rusia merangkumi produk elektrik dan elektronik, jentera, kelengkapan dan alat ganti, serta makanan yang diproses. Import dari Rusia pula terdiri daripada produk petroleum, mineral, serta bahan kimia dan produk berasaskan kimia. 

 

PUTRAJAYA

12 Mei 2025