Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN RASMI PUAN YANG TERUTAMA ANNALENA BAERBOCK, MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN 12 JANUARI 2024

 

LAWATAN RASMI PUAN YANG TERUTAMA ANNALENA BAERBOCK,

MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK PERSEKUTUAN JERMAN

12 JANUARI 2024

 

Puan Yang Terutama Annalena Baerbock, Menteri Luar Negeri Republik Persekutuan Jerman, akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia pada 12 Januari 2024 dalam rangka lawatan beliau ke rantau Asia Tenggara. Lawatan ini menggambarkan pengukuhan hubungan antara Malaysia dan Jerman susulan daripada Lawatan Negara oleh Presiden Frank-Walter Steinmeier ke Malaysia pada Februari 2023.

Semasa lawatan ini, PYT Annalena Baerbock akan mengadakan pertemuan dua hala dengan YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri Malaysia, di Wisma Putra. Selain daripada isu dua hala Malaysia-Jerman, kedua-dua Menteri juga dijangka akan menyentuh isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk hubungan Malaysia-Kesatuan Eropah, ASEAN-EU Dialogue Relations, kerjasama dalam ASEAN-Germany Development Partnership, perubahan iklim, tenaga boleh baharu, serta situasi di Timur Tengah.

Beliau juga akan mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, di Perdana Putra.

Ketika di Putrajaya, PYT Annalena Baerbock juga akan mengadakan sesi pertemuan dengan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) Islam Malaysia.

Jerman merupakan rakan dagangan terbesar Malaysia dalam kalangan negara anggota EU sejak tahun 2000, manakala Malaysia merupakan rakan dagangan terbesar bagi Jerman dalam kalangan negara anggota ASEAN. Dari Januari hingga November 2023, nilai perdagangan Malaysia dengan Jerman meningkat sebanyak 7.2% kepada RM58.37 bilion (USD12.81 bilion) berbanding tempoh yang sama pada 2022.

 

PUTRAJAYA

12 Januari 2024