Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN RASMI PRESIDEN REPUBLIK TÜRKIYE KE MALAYSIA, 10-11 FEBRUARI 2025

LAWATAN RASMI PRESIDEN REPUBLIK TÜRKIYE KE MALAYSIA,

10-11 FEBRUARI 2025

 

Tuan Yang Terutama (TYT) Recep Tayyip Erdoğan, Presiden Republik Türkiye akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia dari 10 hingga 11 Februari 2025, atas jemputan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Lawatan Rasmi ini mengukuhkan hubungan rapat antara kedua-dua negara yang terus berkembang berasaskan hubungan yang telah lama terjalin, terutamanya selepas penaiktarafan ke Perkongsian Strategik Komprehensif (CSP) pada Julai 2022.

Pada 11 Februari 2025, TYT Erdoğan akan diraikan dalam satu Istiadat Sambutan Rasmi di Kompleks Perdana Putra, diikuti dengan mesyuarat dengan YAB Perdana Menteri. Kedua-dua pihak dijangka akan meneliti kemajuan hubungan CSP di antara Malaysia dan Republik Türkiye, terutamanya dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertahanan, halal, kerjasama dalam bidang tenaga, pengurusan bencana, kesihatan, sains dan teknologi dan kesalinghubungan. Kedua-dua pemimpin juga dijangka akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama, termasuk Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025, penganjuran Forum Diplomasi Antalya 2025 buat kali ke-4 oleh Türkiye, Islamofobia dan perjanjian gencatan senjata terkini di Gaza.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya akan menyaksikan pertukaran beberapa Memorandum Persefahaman, Perjanjian dan Nota sebelum mengadakan sidang akhbar bersama. Satu jamuan tengah hari yang dihos oleh YAB Perdana Menteri bagi meraikan TYT Erdoğan juga akan diadakan di Kompleks Seri Perdana.

Selaku Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia komited untuk mengukuhkan integrasi serantau dan menjalin kerjasama melangkaui rantau ini, manakala Türkiye, sebagai Rakan Dialog Sektoral ASEAN, berada pada kedudukan yang baik untuk memainkan peranan penting dalam memajukan keutamaan ekonomi ASEAN. Republik Türkiye telah menjadi Rakan Dialog Sektoral ASEAN pada tahun 2017, dengan bidang kerjasama praktikal antara ASEAN-Türkiye (2024-2028) berfungsi sebagai kerangka untuk kerjasama strategik antara kedua-dua pihak.

Pada tahun 2024, Türkiye merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan destinasi import keempat terbesar dari rantau Asia Barat. Pada tahun 2024, jumlah dagangan Malaysia dengan Türkiye meningkat sebanyak 18.7% kepada RM24.13 bilion (USD5.28 bilion) dari tahun sebelumnya.

 

PUTRAJAYA

9 Februari 2025