Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI REPUBLIK DEMOKRATIK PERSEKUTUAN ETHIOPIA KE MALAYSIA 25 - 26 OKTOBER 2024

 

LAWATAN RASMI PERDANA MENTERI REPUBLIK DEMOKRATIK PERSEKUTUAN

ETHIOPIA KE MALAYSIA

25 - 26 OKTOBER 2024

 

Tuan Yang Terutama Abiy Ahmed Ali (PhD), Perdana Menteri Republik Demokratik Persekutuan Ethiopia, akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia pada 25 dan 26 Oktober 2024. Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia setelah dilantik sebagai Perdana Menteri Ethiopia pada April 2018. Tuan Yang Terutama Dr. Abiy Ahmed Ali diiringi oleh pasangan, Puan Yang Terutama Zinash Tayachew Bere; Tuan Yang Terutama Dr. Gedion Timotheos, Menteri Luar Negeri; Menteri-menteri Kabinet; dan pegawai-pegawai kanan Kerajaan Ethiopia.

TYT Dr. Abiy Ahmed Ali akan disambut oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di dalam Majlis Sambutan Rasmi, diikuti oleh mesyuarat dua hala. Sesi perbincangan tersebut dijangka akan tertumpu kepada kemajuan hubungan dua hala serta kerjasama dalam bidang perdagangan dan pelaburan, pertanian dan komoditi, industri halal, pembangunan mampan, kesihatan, pelancongan dan pendidikan. Kedua-dua pemimpin juga dijangka membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Satu sidang media bersama akan diadakan selepas mesyuarat dua hala tersebut.

Lawatan Rasmi ini akan menambah usaha untuk memperkukuhkan hubungan Malaysia dan Ethiopia. Pada tahun 2023, Ethiopia merupakan rakan dagang ke-26 terbesar Malaysia di benua Afrika. Nilai dagangan dua hala Malaysia dan Ethiopia direkodkan pada RM446.8 juta, dengan eksport Malaysia ke Ethiopia bernilai RM358.6 juta, iaitu peningkatan 24.6 peratus berbanding tahun sebelumnya. Barangan eksport Malaysia ke Ethiopia adalah barangan elektrik dan elektronik; minyak sawit dan barangan pertanian berasaskan minyak sawit; bahan kimia dan produk berasaskan bahan kimia; tekstil, pakaian dan kasut. Pada tahun 2023, imbangan dagangan berpihak kepada Malaysia.

 

PUTRAJAYA

24 Oktober 2024