Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK UZBEKISTAN KE MALAYSIA

 

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK UZBEKISTAN

KE MALAYSIA

 

Tuan Yang Terutama Bakhtiyor Saidov, Menteri Luar Negeri Republik Uzbekistan, akan mengadakan Lawatan Rasmi ke Malaysia pada 27 hingga 29 Februari 2024. Ini merupakan lawatan pertama beliau ke Malaysia sebagai Menteri Luar Negeri.

Semasa di Malaysia, TYT Bakhtiyor Saidov akan melakukan kunjungan hormat keatas YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri.

TYT Bakhtiyor Saidov dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri, serta mengadakan pertemuan dengan Tan Sri Dato’ Johari bin Abdul, Yang di-Pertua Dewan Rakyat.

Lawatan TYT Bakhtiyor Saidov ke Malaysia memberi peluang kepada kedua-dua pihak untuk berbincang dan bertukar pandangan mengenai isu dua hala, serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Lawatan ini juga akan mengeratkan lagi hubungan antara kedua-dua negara, merangkumi pelbagai bidang kerjasama.

Pada tahun 2023, Republik Uzbekistan telah menjadi rakan dagang kedua terbesar Malaysia bagi rantau Asia Tengah. Jumlah perdagangan antara Malaysia dan Republik Uzbekistan bernilai RM451.9 juta (USD94.03 juta), iaitu peningkatan sebanyak 30.9 peratus berbanding tahun 2022.

 

PUTRAJAYA

27 Februari 2024