Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK CUBA KE MALAYSIA 12-15 FEBRUARI 2025

LAWATAN RASMI MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK CUBA KE MALAYSIA

12-15 FEBRUARI 2025

 

Tuan Yang Terutama Bruno Eduardo Rodriguez Parrilla, Menteri Luar Negeri Republik Cuba akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia dari 12 hingga 15 Februari 2025. Ini merupakan lawatan sulung beliau ke Malaysia sejak menyandang jawatan tersebut pada 2 Mac 2009. Lawatan ini berlangsung bersempena ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Cuba yang terjalin semenjak 6 Februari 1975.

TYT Bruno dijadual untuk mengadakan pertemuan dua hala dengan YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri. Kedua-dua Menteri Luar dijangka membincangkan kerjasama dua hala antara kedua-dua buah negara seperti perdagangan, usahasama dalam bidang bioteknologi dan kesihatan, serta latihan dan pembangunan keupayaan. Kedua-dua pihak juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu pelbagai hala yang berkepentingan bersama. Antara topik yang dijangka akan dibincangkan adalah ASEAN dan BRICS.

TYT Bruno juga dijadual untuk mengadakan kunjungan hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dalam rangka lawatan ini.

TYT Bruno seterusnya dijadual untuk mengadakan pertemuan dengan Jawatankuasa Pilihan Khas Hubungan Antarabangsa dan Perdagangan Antarabangsa Parlimen di Parlimen Malaysia. Satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara BERNAMA dan Prensa Latina akan ditandatangani dalam bidang kewartawanan, manakala Pertukaran Nota (Exchange of Notes - EoN) akan berlangsung di antara Institut Diplomasi dan Hubungan Luar (IDHL) dengan Higher Institute of International Relations (ISRI) dalam bidang latihan diplomasi.

 

PUTRAJAYA

12 February 2025