LAWATAN NEGARA TUAN YANG TERUTAMA PRESIDEN REPUBLIK RAKYAT CHINA KE MALAYSIA 15 – 17 APRIL 2025
LAWATAN NEGARA TUAN YANG TERUTAMA PRESIDEN REPUBLIK RAKYAT
CHINA KE MALAYSIA
15 – 17 APRIL 2025
Presiden Republik Rakyat China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping akan mengadakan lawatan negara ke Malaysia dari 15 hingga 17 April 2025 atas undangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. TYT Xi akan diiringi oleh menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.
Hubungan diplomatik Malaysia dan Republik Rakyat China telah terjalin sejak 31 Mei 1974. Kedua-dua negara, yang telah meraikan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik pada tahun lalu, menikmati hubungan dua hala yang kukuh. Lawatan ini merupakan sebahagian daripada siri pertama lawatan negara oleh TYT Xi pada tahun 2025. Semasa lawatan negara terakhir TYT Xi ke Malaysia pada tahun 2013, kedua-dua negara telah menaiktaraf hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif.
Semasa lawatan negara kali ini, TYT Xi akan disambut dengan istiadat sambutan negara dan diikuti dengan kunjungan menghadap ke atas KDYMM Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. KDYMM Yang di-Pertuan Agong juga berkenan meraikan TYT Xi dan delegasi dalam satu majlis santapan negara.
TYT Xi turut dijadual mengadakan pertemuan dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri untuk berbincang mengenai kerjasama dua hala serta bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa berkepentingan bersama. Kedua-dua pemimpin seterusnya akan menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman, Perjanjian, dan Nota antara Malaysia dengan Republik Rakyat China. YAB Perdana Menteri akan turut menghoskan satu majlis makan malam rasmi di Kompleks Seri Perdana untuk meraikan TYT Xi.
Sebagai Pengerusi ASEAN dan Negara Penyelaras bagi Hubungan Dialog ASEAN-China, Malaysia kekal komited untuk memajukan Perkongsian Strategik Komprehensif antara ASEAN dan Republik Rakyat China melalui dialog, kesalingpercayaan, dan inisiatif yang membawa manfaat kepada rakyat ASEAN dan Republik Rakyat China.
Selama enam belas tahun berturut-turut sejak tahun 2009, Republik Rakyat China merupakan rakan dagang terbesar Malaysia. Jumlah dagangan antara Malaysia dan Republik Rakyat China bernilai RM484.12 bilion pada tahun 2024, yang menyumbang kepada 16.8 peratus nilai perdagangan global Malaysia (RM2.879 trilion).
PUTRAJAYA
14 April 2025