Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN NEGARA PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA KE MALAYSIA 27 JANUARI 2025

LAWATAN NEGARA PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA KE MALAYSIA

27 JANUARI 2025

 

Yang Mulia Prabowo Subianto, Presiden Republik Indonesia, akan mengadakan Lawatan Negara ke Malaysia pada 27 Januari 2025 atas undangan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Yang Mulia Presiden Prabowo Subianto akan diiringi oleh menteri-menteri Kabinet dan pegawai-pegawai kanan kerajaan.

Lawatan Negara ini adalah cerminan hubungan persahabatan yang istimewa dan erat di antara Malaysia dan Republik Indonesia. Ini merupakan lawatan Ketua Negara asing pertama ke Malaysia selepas pertabalan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Ia juga adalah Lawatan Negara pertama Yang Mulia Presiden Prabowo Subianto ke negara di rantau Asia Tenggara selepas pelantikan beliau sebagai Presiden Republik Indonesia pada 20 Oktober 2024.

Semasa lawatan ini, Yang Mulia Presiden Prabowo Subianto akan disambut dengan Istiadat Sambutan Negara dan diikuti dengan Kunjungan Menghadap ke atas Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim. Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda turut berkenan meraikan Yang Mulia Presiden dan delegasi dalam satu Majlis Santapan Negara.

Yang Mulia Presiden Prabowo Subianto turut dijadual mengadakan pertemuan dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri untuk bertukar-tukar pandangan mengenai kerjasama dua hala serta isu-isu serantau dan antarabangsa yang melibatkan kepentingan bersama.

Selaku negara tetangga serumpun yang akrab dan dua negara pengasas ASEAN, Lawatan Negara ini melambangkan komitmen kedua-dua negara untuk melonjakkan tahap hubungan dua hala ke tahap yang lebih tinggi demi kemakmuran dan kemajuan kedua-dua negara dan juga untuk rantau ASEAN. Keutuhan jalinan yang harmoni dan strategik ini mencakupi pelbagai bidang kerjasama yang komprehensif seperti politik, ekonomi, pertahanan, kesalinghubungan, pendidikan dan sosio-budaya.

Dari Januari hingga November 2024, jumlah dagangan dua hala telah direkodkan pada RM106.06 bilion (USD23.2 bilion), meningkat daripada RM101.99 bilion (USD22.41 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2023. Pada tahun 2023, Republik Indonesia merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan keseluruhan sebanyak RM111.21 bilion (USD24.39 bilion).

 

PUTRAJAYA

26 Januari 2025