LAWATAN KHAS SHEIKH AL-AZHAR AL-SHARIF KE MALAYSIA 2-5 JULAI 2024
LAWATAN KHAS SHEIKH AL-AZHAR AL-SHARIF KE MALAYSIA
2-5 JULAI 2024
Prof. Dr. Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, Sheikh Al-Azhar Al-Sharif akan mengadakan lawatan khas ke Malaysia dari 2 hingga 5 Julai 2024 atas undangan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
Semasa lawatan tersebut, Sheikh Al-Azhar akan mengadakan pertemuan dengan YAB Perdana Menteri di Seri Perdana, di mana kedua-dua pihak bakal membincangkan usaha meningkatkan kerjasama di antara Malaysia dan Republik Arab Mesir, terutamanya dalam bidang hal ehwal Islam dan pendidikan. Sheikh Al-Azhar juga dijadualkan untuk menghadiri dan memberi ucapan di “Majlis Ilmu MADANI: Distinguished Speaker Series” di Seri Perdana.
Sebagai tanda penghargaan di atas sumbangan beliau kepada pemikiran dan pembangunan Islam, Sheikh Al-Azhar akan dianugerahkan ijazah doktor kehormat oleh Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam satu upacara khas di Kuala Lumpur.
Lawatan khas oleh Sheikh Al-Azhar, berstatus Perdana Menteri berdasarkan Perlembagaan Mesir, merupakan satu detik bersejarah di dalam hubungan dua hala di antara Malaysia dan Republik Arab Mesir. Ia juga membuktikan pertalian erat dan kerjasama rapat di antara kedua-dua negara dalam usaha membangunkan umat Islam yang progresif dan dinamik.
PUTRAJAYA
2 Julai 2024