Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN KERJA YB MENTERI LUAR NEGERI KE BANGKOK, THAILAND BAGI MENGHADIRI ASEAN TROIKA INFORMAL CONSULTATION AND EXTENDED INFORMAL CONSULTATION ON MYANMAR 20 DISEMBER 2024

LAWATAN KERJA YB MENTERI LUAR NEGERI KE BANGKOK, THAILAND BAGI

MENGHADIRI ASEAN TROIKA INFORMAL CONSULTATION AND EXTENDED INFORMAL

CONSULTATION ON MYANMAR

20 DISEMBER 2024 

 

YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, sedang mengadakan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand pada 20 Disember 2024 bagi menghadiri ASEAN Troika Informal Consultation and Extended Informal Consultation on Myanmar.

Mekanisme ASEAN Troika telah ditubuhkan oleh Para Pemimpin ASEAN pada tahun 2023 bagi memastikan kesinambungan usaha ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar. Kini, ahli Troika terdiri daripada Pengerusi ASEAN terdahulu, semasa, dan akan datang, iaitu Indonesia, Lao PDR dan Malaysia.

Sesi Informal Consultation ini bertujuan memperkukuh penyelarasan dan kerjasama dalam kalangan ahli ASEAN Troika berkaitan pelaksanaan berkesan Kemuafakatan Lima Perkara (Five-Point Consensus - 5PC) serta ASEAN Leaders’ Review and Decision on the 5PC untuk mencari penyelesaian damai dan mampan untuk Myanmar.

Bagi Sesi Extended Informal Consultation pula, ASEAN Troika akan disertai oleh Menteri-Menteri Luar Negeri dan wakil-wakil daripada Negara-Negara Anggota ASEAN (AMS). Sesi Konsultasi ini akan tertumpu kepada usaha keseluruhan ASEAN dan hala tuju pelaksanaan 5PC dalam menangani krisis di Myanmar.

Semasa mesyuarat-mesyuarat ini, Malaysia akan berkongsi pendekatan yang akan diambil dalam menangani konflik di Myanmar apabila Malaysia mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada tahun 2025. Konsultasi ini akan dipengerusikan oleh Menteri Luar Negeri Lao PDR sebagai Pengerusi ASEAN 2024.

Konsultasi ini terus menekankan peranan penting ASEAN dalam menangani krisis di Myanmar serta memastikan keamanan dan keselamatan serantau.

 

PUTRAJAYA

20 Disember 2024