Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD BIN ALAMIN, TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI, KE SEGMEN PERINGKAT TINGGI MAJLIS HAK ASASI MANUSIA DAN SEGMEN PERINGKAT TINGGI PERSIDANGAN MENGENAI PELUCUTAN SENJATA DI GENEVA, SWITZERLAND 27 HINGGA 29 FEBRUARI 2024

 

LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD BIN ALAMIN, TIMBALAN MENTERI

LUAR NEGERI, KE SEGMEN PERINGKAT TINGGI MAJLIS HAK ASASI MANUSIA

DAN SEGMEN PERINGKAT TINGGI PERSIDANGAN MENGENAI PELUCUTAN

SENJATA DI GENEVA, SWITZERLAND

 27 HINGGA 29 FEBRUARI 2024

 

YB Datuk Mohamad bin Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri, akan mengetuai delegasi Malaysia ke Segmen Peringkat Tinggi, Majlis Hak Asasi Manusia dan Segmen Peringkat Tinggi, Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata, pada 27-29 Februari 2024 di Geneva, Switzerland.

YB Timbalan Menteri Luar Negeri akan menyampaikan Kenyataan Negara di Majlis Hak Asasi Manusia pada 27 Februari 2024 (1830 waktu Malaysia) dan Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata pada 28 Februari 2024 (1600 waktu Malaysia). Sesi Majlis Hak Asasi Manusia tersebut akan ditayangkan secara langsung melalui UN WebTV (https://webtv.un.org/en).

Dalam Kenyataan Negara di Majlis Hak Asasi Manusia, Malaysia akan mengetengahkan kemajuan yang telah dicapai dalam mempromosi dan melindungi hak asasi manusia. Pada masa yang sama, Malaysia juga akan menyuarakan sokongan padu negara terhadap pembelaan hak asasi rakyat Palestin, usaha memerangi Islamofobia, cabaran-cabaran negara dalam menghadapi permasalahan berkaitan pelarian dan pemohon suaka, keperluan untuk menambahbaik proses kerja di Majlis Hak Asasi Manusia dan pengukuhan kerjasama Malaysia dengan Pejabat Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia di Geneva.

Di Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata pula, Malaysia akan menekankan keperluan untuk masyarakat antarabangsa supaya menyegerakan pelupusan senjata nuklear dan senjata pemusnah besar-besaran (WMD), agar satu dunia bebas dari senjata WMD dapat dikecapi. Dalam pada itu, Malaysia akan menggesa Persidangan tersebut supaya segera mencapai kata sepakat ke atas Program Kerja bagi tahun 2024 agar dapat melaksanakan tanggungjawabnya sebagai Badan Rundingan mengenai pelucutan senjata dengan berkesan.

Kedua-dua Segmen ini adalah antara mesyuarat-mesyuarat utama di Geneva pada tahun 2024. Penyertaan YB Timbalan Menteri Luar Negeri adalah selari dengan peranan aktif Malaysia di peringkat antarabangsa, terutamanya dalam mempromosi hak asasi manusia dan keselamatan dan keamanan sejagat.

YB Timbalan Menteri Luar Negeri juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan rakan-rakan sejawat dan Ketua-Ketua Organisasi Antarabangsa di Geneva bagi membincangkan isu-isu berkepentingan bersama. Antara lainnya, termasuklah bertukar-tukar pandangan bagi mengukuhkan mekanisme hak asasi manusia, pemberian bantuan kemanusiaan dan mengaktifkan semula Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata.

Majlis Hak Asasi Manusia merupakan badan subsidiari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dianggotai oleh 47 buah negara. Majlis ini bertanggungjawab untuk mempromosi dan melindungi hak asasi manusia sejagat. Malaysia pada masa ini merupakan salah satu anggota Majlis Hak Asasi Manusia dan keahlian negara akan tamat pada Disember 2024. Malaysia telah menjadi anggota Majlis selama tiga penggal iaitu 2006-2009, 2010-2013 dan 2022-2024. Pada hakikatnya, Majlis Hak Asasi Manusia ditubuhkan pada tahun 2006 sebagai sebuah badan baharu bagi menggantikan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia.

Persidangan Mengenai Pelucutan Senjata pula merupakan Badan Perunding Pelbagai Hala PBB berhubung isu pelucutan senjata. Badan ini dianggotai oleh 65 buah negara, termasuk Malaysia.

 

PUTRAJAYA

27 Februari 2024