LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD ALAMIN TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA KE THE HAGUE, BELANDA 15 – 16 FEBRUARI 2023
LAWATAN KERJA YB DATUK MOHAMAD ALAMIN
TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI MALAYSIA
KE THE HAGUE, BELANDA
15 – 16 FEBRUARI 2023
YB Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri Malaysia akan mengadakan lawatan kerja ke The Hague, Belanda dari 15 hingga 16 Februari 2023. Ini merupakan lawatan kerja pertama YB Datuk Mohamad Alamin ke luar negara sejak pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri pada 9 Disember 2022.
Semasa lawatan ini, YB Timbalan Menteri akan mewakili YB Menteri Luar Negeri ke Segmen Peringkat Menteri di Sidang Kemuncak Responsible Artificial Intelligence (AI) in the Military Domain (REAIM 2023) yang akan berlangsung di World Forum Convention Centre di The Hague.
Kerajaan Belanda akan menghoskan REAIM 2023 secara bersama dengan Kerajaan Republik Korea. Persidangan tersebut memberi platform kepada pelbagai pemegang taruh termasuklah negara-negara seperti Malaysia bagi membincangkan serta mengutarakan pandangan terhadap isu-isu yang berkaitan dengan pengaplikasian kecerdasan buatan (artificial intelligence - AI) dalam bidang ketenteraan.
Di sela-sela REAIM 2023, YB Timbalan Menteri juga dijangka akan mengadakan pertemuan dengan TYT Paul Huijts, Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Belanda. Selain itu, beliau dijadualkan untuk bertemu dengan pegawai-pegawai daripada Kedutaan Malaysia serta rakyat Malaysia di The Hague.
Lawatan YB Timbalan Menteri Luar ke Belanda akan memberikan peluang yang baik kepada Malaysia untuk mengeratkan lagi hubungan dua hala yang telah terjalin sekian lama dengan Belanda serta meneroka bidang kerjasama baharu dengan berkepentingan bersama.
Pada 2022, Belanda merupakan rakan dagangan ke-14 terbesar Malaysia dan rakan dagangan ke-2 terbesar di kalangan negara-negara Kesatuan Eropah (EU). Jumlah dagangan Malaysia bersama Belanda bernilai RM48.04 bilion (USD10.93 bilion), peningkatan sebanyak 33.4% berbanding tahun 2021.
PUTRAJAYA
15 Februari 2023