Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK SOSIALIS VIETNAM 25 - 26 FEBRUARI 2025

 LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE REPUBLIK SOSIALIS VIETNAM

25 - 26 FEBRUARI 2025 

 

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja ke Hanoi, Republik Sosialis Vietnam, pada 25 dan 26 Februari 2025. YAB Perdana Menteri dijadual akan menyampaikan ucaptama pada ASEAN Future Forum (AFF) 2025 pada 26 Februari. Forum ini merupakan platform perbincangan inklusif dan dialog dalam kalangan para Pemimpin ASEAN, pembuat dasar, pakar-pakar, badan pemikir, peneraju perniagaan serta pihak berkepentingan berkenaan hala tuju dan masa depan ASEAN ke arah komuniti yang lebih inklusif, mampan, dan berdaya saing.

Ucaptama YAB Perdana Menteri akan menekankan komitmen Malaysia terhadap nilai-nilai MADANI dan aspirasi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025, serta mengetengahkan keutamaan dan keberhasilan Malaysia pada tahun ini, termasuk usaha-usaha dalam mempromosi pembangunan ekonomi inklusif dan mampan, transformasi digital, perubahan iklim dan tenaga boleh diperbaharui.

Dalam rangka lawatan ini juga, YAB Perdana Menteri turut akan mengadakan kunjungan ke atas TYT To Lam, Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam dan TYT Luong Cuong Presiden Republik Sosialis Vietnam, serta bertemu dengan TYT Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Republik Sosialis Vietnam.

Pertemuan-pertemuan ini memberi peluang untuk kedua-dua negara merangka hala tuju yang jelas dalam memperkukuh kerjasama dua hala di bawah rangka Perkongsian Strategik Menyeluruh (Comprehensive Strategic Partnership), dengan tumpuan strategik kepada perdagangan dan pelaburan, pertahanan dan keselamatan, ekonomi maritim, sains dan teknologi, tenaga, pelancongan serta kerjasama dalam menyelesaikan isu penangkapan ikan secara haram, tidak dilaporkan dan tidak terkawal (illegal, unreported and unregulated fishing - IUU). Para Pemimpin juga akan bertukar pandangan mengenai isu-isu serantau.

Lawatan ini mencerminkan komitmen Malaysia untuk memperkukuh hubungan dengan Negara-negara Anggota ASEAN selaras dengan tema “Keterangkuman dan Kemampanan” di bawah Kepengerusian Malaysia. Lawatan ini juga dapat memperkukuh hubungan dua hala antara Malaysia dengan Vietnam, di samping memperluas kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.

 

PUTRAJAYA

25 Februari 2025