Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM BERSEMPENA RUNDINGAN PEMIMPIN TAHUNAN KALI KE-25 25 - 26 OGOS 2024

 

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI KE NEGARA BRUNEI DARUSSALAM

BERSEMPENA RUNDINGAN PEMIMPIN TAHUNAN KALI KE-25

25 - 26 OGOS 2024

 

YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri akan mengadakan lawatan kerja ke Negara Brunei Darussalam pada 25 dan 26 Ogos 2024 bersempena Rundingan Pemimpin Tahunan Kali ke-25 antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam.

YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Panglima Hj Hajiji bin Haji Noor, Ketua Menteri Sabah, Senator Tengku Datuk Seri Utama Zafrul bin Tengku Abdul Aziz, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Senator Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry bin Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, YB Puan Fadhlina binti Sidek, Menteri Pendidikan, Datuk Paduka Seri Laila Jasa Haji Awang Tengah Ali Hasan, Timbalan Premier Sarawak, YB Datuk Haji Hasbi bin Habibollah, Timbalan Menteri Pengangkutan, YB Tuan Adam Adli bin Abd Halim, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Dr. Zulkifli bin Hasan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) dan pegawai kanan kerajaan.

Rundingan Pemimpin Tahunan ini merupakan mekanisme dua hala peringkat tertinggi antara Malaysia dan Negara Brunei Darussalam. Semasa Rundingan Pemimpin Tahunan ke-25, YAB Perdana Menteri dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan mengkaji semula kemajuan kerjasama dua hala dan isu-isu yang tertunggak. Sebagai jiran rapat dan rakan kongsi di ASEAN, kedua-dua pemimpin akan turut bertukar-tukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang mempunyai kepentingan bersama. Kedua-dua pemimpin juga dijangka akan menyaksikan pemeteraian beberapa instrumen dua hala.

ALC ini akan mengukuhkan lagi hubungan istimewa dan kerjasama pelbagai hala antara kedua-dua negara, yang ditunjangi oleh institusi Kesultanan Melayu dan persamaan lain seperti budaya, bahasa dan warisan.

Tahun lepas, Brunei Darussalam merupakan rakan dagang ke-30 terbesar Malaysia dan rakan dagang ke-6 terbesar di kalangan Negara Anggota ASEAN dengan jumlah dagangan berjumlah RM9.31 bilion (USD2.04 bilion). Jumlah eksport ke Brunei Darussalam pada tahun 2023 bernilai RM6.4 bilion (USD1.4 bilion), manakala jumlah import bernilai RM2.91 bilion (USD0.64 bilion). Jumlah lebihan dagangan berpihak kepada Malaysia, bernilai RM3.49 bilion (USD0.76 bilion). Dalam Januari sehingga Mei 2024, jumlah dagangan adalah sebanyak RM3.53 bilion (USD0.75 bilion).

 

PUTRAJAYA

24 Ogos 2024