Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM KE REPUBLIK SINGAPURA 31 MEI 2025

LAWATAN KERJA YAB PERDANA MENTERI DATO’ SERI ANWAR IBRAHIM

KE REPUBLIK SINGAPURA

31 MEI 2025

 

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan lawatan kerja ke Republik Singapura pada 31 Mei 2025 bagi menghadiri Dialog Shangri-La ke-22 anjuran Institut Kajian Strategik Antarabangsa (IISS). Dialog tahunan antarabangsa ini merupakan platform bagi pemimpin dan pegawai untuk membincangkan cabaran keselamatan serantau dan global. Sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, jemputan tersebut mencerminkan pengiktirafan terhadap peranan kepimpinan Malaysia dalam memelihara keamanan dan keselamatan di rantau ini.

Semasa lawatan tersebut, YAB Perdana Menteri turut dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau, Tuan Yang Terutama Lawrence Wong, Perdana Menteri Republik Singapura. Kedua-dua pemimpin dijangka menilai perkembangan hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan isu-isu global yang berkepentingan bersama.

YAB Perdana Menteri juga dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Republik Singapura, Tuan Yang Terutama Tharman Shanmugaratnam.

Pada tahun 2024, Singapura merupakan rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan yang terbesar dalam kalangan Negara-Negara Anggota ASEAN. Perdagangan dua hala meningkat sebanyak 8.9 peratus kepada RM396.22 bilion (USD86.69 bilion), merangkumi 13.8 peratus daripada jumlah dagangan keseluruhan Malaysia, dengan eksport Malaysia ke Singapura bernilai RM230.86 bilion (USD50.53 bilion), manakala import dari Singapura ke Malaysia bernilai RM143.73 bilion (USD31.45 bilion).

Sebagai negara jiran dan salah satu rakan utama dalam ASEAN, Malaysia dan Singapura menikmati kerjasama yang kukuh dan merangkumi pelbagai bidang. Tahun ini juga menandakan ulang tahun ke-60 hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.

 

PUTRAJAYA

30 Mei 2025