Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK INDONESIA KE MALAYSIA 11-13 FEBRUARI 2025

LAWATAN KERJA TIMBALAN MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK

INDONESIA KE MALAYSIA

11-13 FEBRUARI 2025 

 

Tuan Yang Terutama Arif Havas Oegroseno, Timbalan Menteri Luar Negeri Republik Indonesia akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia dari 11 hingga 13 Februari 2025.

Semasa lawatan kerja tersebut, TYT Arif Havas akan mengadakan kunjungan hormat ke atas YB Datuk Mohamad Alamin, Timbalan Menteri Luar Negeri dan menghadiri jamuan makan tengahari yang dihoskan YB Timbalan Menteri bagi meraikan beliau dan delegasi.

TYT Arif Havas turut akan mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan; Timbalan Menteri Pertahanan; Ketua Pengarah Keselamatan Negara; Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Setiausaha Politik Kanan kepada YAB Perdana Menteri.

Tujuan lawatan ini adalah bagi membincangkan hasil Lawatan Negara oleh Yang Mulia Presiden Prabowo Subianto ke Malaysia pada 27 Januari 2025 serta isu-isu dua hala dan serantau yang berkepentingan bersama. Lawatan ini merupakan kesinambungan gerak kerja rapat kedua-dua belah pihak selepas Lawatan Negara Presiden Republik Indonesia baru-baru ini.

TYT Arif Havas turut dijadual untuk menyampaikan syarahan di Forum “Muafakat Indonesia-Malaysia: Advancing Economic Growth and Security Stability in ASEAN’s Digital Age” di Management and Science University (MSU), Shah Alam.

Pada tahun 2024, jumlah dagangan dua hala Malaysia-Indonesia telah direkodkan sebanyak RM116.29 bilion (USD25.5 bilion), peningkatan 4.5 peratus daripada RM111.21 bilion (USD24.39 bilion) pada tahun 2023. Republik Indonesia merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN.

 

PUTRAJAYA

11 Februari 2025