Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN KERJA PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA KE MALAYSIA 9 JANUARI 2025

LAWATAN KERJA PRESIDEN REPUBLIK INDONESIA KE MALAYSIA

9 JANUARI 2025 

 

Tuan Yang Terutama Prabowo Subianto, Presiden Republik Indonesia akan mengadakan lawatan kerja ke Malaysia pada 9 Januari 2025. Ini merupakan lawatan kerja pertama TYT Prabowo Subianto ke Malaysia sejak beliau memegang jawatan sebagai Presiden pada Oktober 2024.

Lawatan ini adalah cerminan hubungan istimewa di antara Malaysia dan Republik Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan, dan keselamatan.

Semasa lawatan ini, TYT Prabowo Subianto dijadualkan mengadakan pertemuan bersama YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Kedua-dua pemimpin akan membincangkan kerjasama dua hala dan meneroka potensi kerjasama baharu untuk memperkukuh hubungan kedua-dua negara. YAB Perdana Menteri juga akan turut meraikan Presiden Prabowo Subianto dalam satu jamuan makan tengah hari tertutup.

Dengan Malaysia mengambil alih peranan sebagai Pengerusi ASEAN tahun ini, kedua-dua pemimpin dijangka akan bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Pembinaan Komuniti ASEAN, kerjasama serantau, serta menangani cabaran global.

Pada tahun 2023, Republik Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (USD24.39 bilion). Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (USD20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (USD20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.

 

PUTRAJAYA

9 Januari 2025