LAWATAN KERJA PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN PERDANA MENTERI THAILAND KE SUNGAI GOLOK, THAILAND DAN RANTAU PANJANG, MALAYSIA 3 OGOS 2024
LAWATAN KERJA PERDANA MENTERI MALAYSIA DAN PERDANA MENTERI THAILAND
KE SUNGAI GOLOK, THAILAND DAN RANTAU PANJANG, MALAYSIA
3 OGOS 2024
YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri dan Tuan Yang Terutama Srettha Thavisin, Perdana Menteri Thailand akan mengadakan Lawatan Kerja ke Sungai Golok, Narathiwat, Thailand dan Rantau Panjang, Kelantan, Malaysia pada 3 Ogos 2024. Tujuan utama lawatan ini adalah untuk menilai kemajuan projek naik taraf jambatan yang menghubungkan Rantau Panjang-Sungai Golok, yang merupakan salah satu inisiatif utama kesalinghubungan sempadan antara kedua-dua negara.
YAB Perdana Menteri akan diiringi oleh YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri; YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Dalam Negeri; YB Tuan Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Sekitar; dan YB Dato’ Haji Mohd Nassuruddin Daud, Menteri Besar Kelantan.
Kedua-dua Perdana Menteri juga dijangka akan mengadakan perbincangan mengenai isu-isu dua hala, termasuk isu persempadanan Malaysia-Thailand, inisiatif kesalinghubungan yang bertujuan untuk meningkatkan pembangunan sosioekonomi di kawasan sempadan kedua-dua negara dan Proses Dialog Damai di Selatan Thailand.
Lawatan ini adalah susulan pertemuan kedua-dua pemimpin di Sadao, Thailand pada November 2023, yang mempamerkan komitmen Malaysia dan Thailand untuk memupuk hubungan sesama rakyat dan mempertingkatkan aktiviti ekonomi di sepanjang kawasan utara Semenanjung Malaysia dan selatan Thailand.
Pada tahun 2023, Thailand merupakan rakan dagang keenam terbesar Malaysia di peringkat global dan kedua terbesar di kalangan negara-negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan bernilai USD24.83 bilion (RM113.16 bilion).
PUTRAJAYA
2 Ogos 2024