LAWATAN KERJA PERDANA MENTERI BELANDA, TUAN YANG TERUTAMA MARK RUTTE KE MALAYSIA 31 OKTOBER – 1 NOVEMBER 2023
LAWATAN KERJA PERDANA MENTERI BELANDA,
TUAN YANG TERUTAMA MARK RUTTE KE MALAYSIA
31 OKTOBER – 1 NOVEMBER 2023
Tuan Yang Terutama Mark Rutte, Perdana Menteri Belanda akan mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia dari 31 Oktober 2023 hingga 1 November 2023. Lawatan ini merupakan lawatan kedua beliau ke Malaysia selepas lawatan sulung pada tahun 2014. Tuan Yang Terutama Mark Rutte akan diiringi oleh Timbalan Menteri Perdagangan Asing, pegawai- pegawai kanan kerajaan dan delegasi perniagaan.
Semasa lawatan tersebut, Tuan Yang Terutama Mark Rutte dijadual untuk mengadakan pertemuan dengan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada 1 November 2023. Kedua-dua pemimpin dijangka akan menilai semula kemajuan hubungan dua hala, terutama kerjasama di dalam bidang perdagangan, pelaburan, pertukaran budaya, minyak sawit, pertanian, agrikomoditi dan isu Islamofobia, serta meneroka bidang-bidang kerjasama baharu. Dalam pertemuan ini, kedua-dua pemimpin akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Tuan Yang Terutama Mark Rutte turut akan diraikan oleh YAB Perdana Menteri dalam satu jamuan makan tengah hari.
Selain itu, Tuan Yang Terutama Mark Rutte akan mengadakan pertemuan bersama YAB Dato' Sri Haji Fadillah Bin Haji Yusof, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Perladangan dan Komoditi Malaysia dan terlibat dalam acara simbolik penanaman pokok sawit yang melambangkan kerjasama erat kedua-dua negara dalam sektor minyak sawit.
Tuan Yang Terutama Mark Rutte juga dijadual menyampaikan ucaptama dan menyertai sesi dialog bersama YB Tuan Nik Nazmi bin Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia sewaktu Dialog Air Malaysia – Belanda ke-6. Dialog Air ini merupakan acara tahunan, anjuran bersama Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) dan Kedutaan Besar Belanda di Kuala Lumpur, yang berfungsi sebagai platform untuk para pakar menangani pelbagai isu berkaitan air.
Pada tahun 2022, Belanda merupakan rakan dagang ke-14 terbesar Malaysia dan kedua terbesar dalam Kesatuan Eropah dengan jumlah dagangan sebanyak RM48.04 bilion (USD10.93 bilion); peningkatan sebanyak 33.4 peratus berbanding RM36.01 bilion (USD8.68 bilion) pada tahun 2021. Di samping itu, pada tahun 2022, Belanda juga merupakan pengimport minyak sawit Malaysia yang terbesar dalam kalangan negara- negara Kesatuan Eropah (EU) dengan kuantiti sebanyak 732,324.54 tan. Adalah besar harapan agar Belanda akan terus meningkatkan jumlah import minyak sawit dari Malaysia dan menyokong usaha Malaysia dalam mempromosikan pengeluaran minyak sawit yang mampan serta menangani persepsi negatif terhadap minyak sawit. Kementerian Luar Negeri yakin bahawa Lawatan Kerja ini akan memperkukuh lagi hubungan baik yang sedia terjalin di antara kedua-dua buah negara.
PUTRAJAYA
31 Oktober 2023