Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK INDONESIA KE MALAYSIA 3 JULAI 2024

 

LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI REPUBLIK INDONESIA

KE MALAYSIA

3 JULAI 2024 

 

Puan Yang Terutama Retno L.P. Marsudi, Menteri Luar Negeri Republik Indonesia akan mengadakan Lawatan Kerja ke Malaysia pada 3 Julai 2024.

Semasa Lawatan Kerja tersebut, PYT Retno L.P. Marsudi akan mengadakan pertemuan dengan YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri. Kedua-dua Menteri akan membincangkan status kerjasama sedia ada antara kedua-dua negara sebagai persediaan kepada Mesyuarat Suruhanjaya Bersama Kerjasama Dua Hala ke-17 (JCBC) yang akan dihoskan oleh Indonesia tahun ini. Kedua-dua Menteri juga akan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama.

PYT Retno L.P. Marsudi juga akan melakukan Kunjungan Hormat ke atas YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri. Selaku jiran tetangga dan Negara Anggota ASEAN, hubungan Malaysia-Indonesia adalah amat penting bukan sahaja dari perspektif dua hala tetapi dalam konteks keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.

Lawatan ini akan mengeratkan lagi jalinan persahabatan serta mencerminkan hubungan akrab dan kerjasama erat antara Malaysia dan Republik Indonesia. Pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagangan dunia ketujuh terbesar Malaysia dan ketiga terbesar dalam kalangan Negara Anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (USD24.39 billion).

 

PUTRAJAYA

2 Julai 2024