Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI KE SESI KE-79 PERHIMPUNAN AGUNG PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU DI NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT, 21 – 28 SEPTEMBER 2024

 

LAWATAN KERJA MENTERI LUAR NEGERI KE SESI KE-79 PERHIMPUNAN AGUNG

PERTUBUHAN BANGSA-BANGSA BERSATU

DI NEW YORK, AMERIKA SYARIKAT, 21 – 28 SEPTEMBER 2024

 

YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri akan mewakili YAB Perdana Menteri ke Sesi Ke-79 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA 2024) dan mesyuarat-mesyuarat berkaitan, dari 21 hingga 28 September 2024 di New York, Amerika Syarikat.

Sesi Debat Umum UNGA 2024 akan bermula pada 24 September 2024. Summit of the Future(SOTF) yang akan diadakan pada 22 dan 23 September 2024 turut akan menjadi perhatian utama pada tahun ini.

YB Menteri Luar Negeri akan menyampaikan Kenyataan Negara di SOTF pada 22 September 2024 (2 pagi waktu Malaysia) dan di Debat Umum pada 28 September 2024 (11 malam waktu Malaysia). Kedua-dua sesi tersebut akan ditayangkan secara langsung melalui UN WebTV (https://webtv.un.org/en).

Pendekatan Malaysia di PBB akan berteraskan tiga tema utama iaitu, “Mempertahankan Prinsip, Menerima Reformasi dan Mengukuhkan Kerjasama”. Malaysia akan menekankan prinsip-prinsip asas yang terkandung dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa. Malaysia akan menyeru untuk pelaksanaan reformasi kerangka global, bagi mempertahankan dan mengangkat multilateralisme serta kedaulatan undang-undang antarabangsa. Bagi mencapai matlamat ini, Malaysia juga akan menggalakkan pengukuhan kerjasama di peringkat serantau dan antarabangsa.

YB Menteri Luar Negeri akan turut menyertai beberapa mesyuarat-mesyuarat peringkat tinggi termasuk ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Komanwel, Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM), G77 dan China, World Economic Forum (WEF) dan G20. Antara isu-isu yangakan diberi penekanan termasuk merapatkan jurang pembangunan antara Negara-negara Membangun (Global South) dan Negara-negara Maju (Global North), dan tindakan susulan kepada keputusan Pendapat Nasihat oleh Mahkamah Jenayah Antarabangsa berkaitan Palestin.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia akan memberi penekanan kepada tindakan-tindakan bagi mengukuhkan keamanan, kestabilan dan kemakmuran melalui kerjasama dengan PBB dan organisasi-organisasi antarabangsa yang lain. Sebagai Negara Anggota PBB sejak 17 September 1957, Malaysia mengulangi sokongannya yang tidak berbelah bahagi terhadap multilateralisme dan komitmen kepada keamanan, kestabilan dan kemakmuran global.


PUTRAJAYA
21 September 2024