Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

KETIBAAN 10 RAKYAT MALAYSIA YANG TERKESAN DENGAN FENOMENA HUJAN LEBAT DI PERGUNUNGAN MANALI, HIMACHAL PRADESH, INDIA

 

KETIBAAN 10 RAKYAT MALAYSIA YANG TERKESAN DENGAN FENOMENA

HUJAN LEBAT DI PERGUNUNGAN MANALI,

HIMACHAL PRADESH, INDIA

 

Kementerian Luar Negeri ingin memaklumkan bahawa 10 orang rakyat Malaysia yang terkandas di Himachal Pradesh, India telah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi pada pukul 1.56 petang (waktu tempatan) tadi melalui penerbangan Malaysia Airlines MH173. Setibanya kumpulan tersebut dari Bandar Manali pada pagi Jumaat, 14 Julai 2023, urusan penerbangan kumpulan ini telah diselaraskan oleh Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi dengan kerjasama Malaysia Airlines. Kumpulan ini dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada pukul 10.01 malam ini.

Hasil usaha sama dan tindakan pantas Suruhanjaya Tinggi Malaysia di New Delhi bersama pihak berkuasa Kerajaan India, kumpulan tersebut telah berjaya dievakuasi menerusi jalan darat dari Bandar Manali selama 23 jam, bermula pada pagi hari Khamis, 13 Julai 2023 dan tiba dengan selamat di Lapangan Terbang Antarabangsa Indira Gandhi, New Delhi pada pagi hari Jumaat, 14 Julai 2023.

Kementerian ini ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha membawa pulang kumpulan tersebut, khususnya kerjasama dan keprihatinan pihak berkuasa Kerajaan India yang telah membantu menjayakan misi pencarian dan penghantaran pulang rakyat Malaysia yang terkandas akibat bencana ini.

Kementerian ini juga ingin menggesa rakyat Malaysia yang berada di luar negara untuk terus berdaftar dengan pejabat-pejabat Perwakilan Malaysia di negara-negara yang dikunjungi. Ini bagi memastikan bantuan konsular yang sewajarnya akan dapat diberikan dengan segera kepada mereka yang memerlukan, terutamanya ketika situasi bencana seumpama ini.

 

PUTRAJAYA

Julai 2023