HASIL LAWATAN RASMI YB MENTERI LUAR NEGERI KE REPUBLIK FILIPINA 1 JULAI 2024
HASIL LAWATAN RASMI YB MENTERI LUAR NEGERI
KE REPUBLIK FILIPINA
1 JULAI 2024
YB Dato’ Seri Utama Haji Mohamad bin Haji Hasan, Menteri Luar Negeri, telah mengakhiri Lawatan Rasmi beliau ke Republik Filipina pada 1 Julai 2024. Lawatan tersebut juga adalah bersempena ulang tahun ke-60 penubuhan hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Republik Filipina.
Semasa lawatan beliau, YB Menteri Luar Negeri telah mengadakan kunjungan hormat ke atas TYT Ferdinand R. Marcos, Jr., Presiden Republik Filipina. Antara lain, kedua-dua pihak menilai perkembangan positif di Selatan Filipina. Mengambil kira potensi luas wilayah tersebut, TYT Presiden menjemput syarikat-syarikat Malaysia untuk mengambil bahagian dalam pelbagai aktiviti ekonomi bagi meningkatkan pembangunan sosio-ekonomi di Selatan Filipina.
YB Menteri Luar Negeri juga telah mengadakan pertemuan bersama rakan sejawat beliau, TYT Enrique A. Manalo. Kedua-dua Menteri menekankan kepentingan untuk mengukuhkan lagi kerjasama dua hala, terutamanya dalam sektor perdagangan, pelaburan, industri halal, kewangan Islam dan keterjaminan makanan.
Kedua-dua Menteri juga turut membincangkan isu-isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama. Dalam hal ini, Malaysia dan Republik Filipina senada menekankan pentingnya perpaduan ASEAN dalam menangani isu-isu serantau serta keperluan mendesak untuk gencatan senjata segera di Palestin.
Republik Filipina juga telah memberi jaminan untuk memberikan kerjasama penuh kepada Malaysia sewaktu Kepengerusian ASEAN pada 2025. YB Menteri Luar Negeri turut mengulangi komitmen Malaysia untuk menyokong pembangunan sosio-ekonomi Bangsamoro menerusi program pembinaan keupayaan, termasuk Program Kerjasama Teknikal Malaysia (MTCP).
Satu majlis resepsi sempena ulang tahun penubuhan hubungan diplomatik ke-60 juga telah diadakan, dengan kehadiran kedua-dua Menteri Luar Negeri selaku tetamu kehormat. Resepsi tersebut turut dihadiri oleh Menteri-Menteri Kabinet Filipina, pegawai-pegawai kanan Kerajaan Filipina, diplomat asing, pemimpin perniagaan dan diaspora Malaysia.
PUTRAJAYA
2 Julai 2024