Flag of Malaysia Bahasa Malaysia

Press Release

DIALOG DASAR SERANTAU MAJLIS TVET ASEAN KE-4 (ASEAN TVET COUNCIL 4TH REGIONAL POLICY DIALOGUE) “TVET UNTUK KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN SERANTAU” 11 - 12 JUN 2025 MELAKA, MALAYSIA

DIALOG DASAR SERANTAU MAJLIS TVET ASEAN KE-4 (ASEAN TVET COUNCIL 4TH REGIONAL POLICY DIALOGUE)

“TVET UNTUK KEMAJUAN LUAR BANDAR DAN SERANTAU”

11 - 12 JUN 2025

MELAKA, MALAYSIA

 

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah dengan kerjasama Majlis TVET Negara (MTVET) sedang menganjurkan Dialog Dasar Serantau Majlis TVET ASEAN ke-4 (ASEAN TVET Council 4th Regional Policy Dialogue, ATC 4th RPD) di Courtyard by Marriott, Melaka pada 11 dan 12 Jun 2025 bertemakan "TVET untuk Kemajuan Luar Bandar dan Serantau".

Sesi dialog ini diadakan bersempena sambutan Hari TVET Negara yang diadakan pada 11 hingga 13 Jun 2025 dan kepengerusian ASEAN 2025 oleh Malaysia. Dialog ini disokong oleh pihak Sekretariat ASEAN, Kerajaan Jerman di bawah program Regional Cooperation on Labour Market Policy and TVET for Twin Transition in ASEAN (RECOTwin) dan Kerajaan Australia di bawah program Aus4ASEAN Digital Transformation and Future Skills.

ATC 4th RPD ini diadakan bertujuan menggalakkan kerjasama serantau, perkongsian ilmu serta perbincangan strategik mengenai peranan TVET sebagai pemangkin transformasi sosioekonomi luar bandar dan komuniti yang kurang mendapat perhatian.

Ucaptama telah disampaikan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid bin Hamidi yang menekankan peranan penting TVET dalam memacu keterangkuman dan kemampanan serta hasrat Malaysia untuk melengkapkan tenaga kerja dengan kemahiran yang relevan untuk pasaran kerja yang dinamik, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi dan keadilan sosial.

Dialog ini menampilkan 29 ahli panel pakar daripada Negara Anggota ASEAN, Australia serta UNESCO yang terdiri daripada pembuat dasar, pegawai kerajaan, pihak industri dan tenaga pengajar TVET. Sesi yang dilaksanakan secara hibrid ini dihadiri oleh lebih 300 orang peserta secara fizikal dan dalam talian.

Dialog ini menekankan tiga pemangkin asas bagi TVET iaitu pendidikan dan latihan yang berkesan; memenuhi keperluan industri terhadap tenaga kerja mahir; dan meningkatkan taraf sosioekonomi. Matlamat utamanya adalah untuk merangka strategi menyeluruh dan dasar yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan akses, kualiti dan kerelevanan TVET seiring dengan keutamaan pembangunan luar bandar serta pertumbuhan inklusif.

ATC 4th RPD dijangka menghasilkan cadangan dan rumusan praktikal untuk menyokong pembangunan dan penyelarasan sistem TVET negara dengan aspirasi serantau. Ia juga akan memperkukuh peranan Majlis TVET ASEAN sebagai platform utama bagi kerjasama, penyelarasan dan kesepaduan dasar TVET merentasi ASEAN.

 

Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah

11 Jun 2025