WARGANEGARA MALAYSIA TERKANDAS DI LAUKKAING, MYANMAR
WARGANEGARA MALAYSIA TERKANDAS DI LAUKKAING, MYANMAR
Kementerian Luar Negeri mengesahkan bahawa setakat ini seramai 109 orang warganegara Malaysia telah dilaporkan terkandas di bandar Laukkaing, utara Myanmar susulan pergolakan yang berlaku di wilayah tersebut. Kebanyakan rakyat Malaysia tersebut dipercayai mangsa-mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara.
Kementerian Luar Negeri melalui Kedutaan Besar Malaysia di Yangon, Kedutaan Besar Malaysia di Beijing dan Konsulat Jeneral Malaysia di Kunming sedang menyelaras usaha menyelamat bersama Kementerian Luar Negeri Republik Kesatuan Myanmar dan Kementerian Luar Negeri Republik Rakyat China sebelum memuktamadkan urusan membawa pulang kesemua warganegara Malaysia berkenaan dengan selamat. Usaha ini turut mendapat kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Imigresen Malaysia.
Kementerian Luar Negeri terus meningkatkan usaha bagi menangani masalah warganegara Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan tawaran pekerjaan di luar negara. Kementerian ini sekali lagi ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang berminat mendapatkan pekerjaan di luar negara supaya berhati-hati dan mengesahkan bidang atau bentuk kerja yang ditawarkan.
Rakyat Malaysia di Myanmar yang memerlukan bantuan dan pertanyaan boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Yangon seperti di alamat berikut:
Kedutaan Besar Malaysia di Yangon
No. 82, Pyidaungsu Yeiktha Road
Dagon Township, 11191 Yangon
Telefon: 00 951 220 230 / 220 248 / 220 249
00 959 772 220 230 (selepas waktu pejabat)
E-mel: mwyangon@kln.gov.my
PUTRAJAYA
20 November 2023