WARGANEGARA MALAYSIA DISELAMATKAN DARIPADA SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI LAOS
WARGANEGARA MALAYSIA DISELAMATKAN DARIPADA
SINDIKET JENAYAH PENIPUAN TAWARAN PEKERJAAN DI LAOS
Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan bahawa seorang warganegara Malaysia yang berumur 19 tahun telah berjaya diselamatkan oleh Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane, Laos daripada sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di sebuah hotel di Vientiane pada 28 Mac 2024 selepas menerima laporan daripada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan keluarga.
Mangsa tersebut telah diperdaya oleh seorang warga asing melalui media sosial dan dibawa keluar dari Malaysia melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur Terminal 2 (KLIA 2) pada 25 Mac 2024.
Walau bagaimanapun, tindakan pantas Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane telah berjaya menggagalkan cubaan pihak sindiket untuk merekrut mangsa tersebut. Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane juga telah menghulurkan bantuan konsular dan mangsa telah dihantar pulang ke tanah air pada 29 Mac 2024.
Kementerian merakamkan penghargaan kepada pihak PDRM di atas tindakan pantas dan pro-aktif dalam mengesan serta menyelamatkan mangsa dengan kerjasama erat bersama Kementerian Luar Negeri serta Kedutaan Besar Malaysia di Vientiane.
Kementerian juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada pihak berkuasa Laos yang sentiasa memberikan kerjasama dan keutamaan dalam membantu Kerajaan Malaysia menyelamatkan mangsa sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan, termasuk kes yang terbaharu ini.
Kementerian turut menyarankan semua rakyat Malaysia supaya sentiasa berwaspada dalam isu sindiket jenayah penipuan tawaran pekerjaan di luar negara. Mangsa atau ahli keluarga yang disyaki terjebak dalam sindiket kegiatan jenayah ini adalah diminta untuk melaporkan kepada pihak PDRM dan Kementerian Luar Negeri dengan kadar segera.
PUTRAJAYA
29 Mac 2024