WARGANEGARA MALAYSIA DI GAZA TELAH SELAMAT DIEVAKUASI MELALUI LINTASAN SEMPADAN RAFAH
WARGANEGARA MALAYSIA DI GAZA TELAH SELAMAT DIEVAKUASI MELALUI LINTASAN SEMPADAN RAFAH
Kementerian Luar Negeri ingin mengesahkan bahawa Puan Nurul Ain Haron, warganegara Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza bersama suami, Mohamed A.M. Shaat, warganegara Palestin telah selamat dibawa keluar melalui Lintasan Sempadan Rafah pada 12 November 2023 pukul 8.23 malam waktu tempatan (2.23 pagi waktu Malaysia).
Ketibaan Puan Nurul Ain Haron dan suami di Lintasan Sempadan Rafah telah dimudahcara oleh Duta Besar Malaysia ke Kaherah bersama pegawai-pegawai kedutaan yang lain. Sejurus selepas Puan Nurul Ain dan suami tiba di Lintasan Sempadan Rafah, beliau telah dihubungi oleh YAB Perdana Menteri dan YB Menteri Luar Negeri untuk bertanya khabar melalui panggilan video.
Tindakan evakuasi ini dapat dilaksanakan dengan berkesan berikutan pertemuan di antara YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia dan Tuan Yang Terutama Abdel Fattah al-Sisi, Presiden Republik Arab Mesir, semasa lawatan kerja YAB Perdana Menteri ke Republik Arab Mesir pada 23 Oktober 2023 yang lalu serta penyelarasan lanjut oleh Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah dan Kedutaan Besar Malaysia di Amman. Kedutaan Besar Malaysia di Kaherah juga sedang menghulurkan bantuan konsular yang sewajarnya kepada mereka.
Kementerian Luar Negeri ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Republik Arab Mesir, Kerajaan Qatar, Kedutaan Besar Republik Arab Mesir di Kuala Lumpur dan Kedutaan Besar Qatar di Kuala Lumpur atas jalinan kerjasama serta keutamaan yang telah diberikan kepada Malaysia dalam usaha menjalankan proses evakuasi warganegara Malaysia yang berada di kawasan konflik Gaza dengan selamat.
PUTRAJAYA
13 November 2023