URUSAN MEMBAWA PULANG JEMAAH UMRAH WARGANEGARA MALAYSIA YANG TERKANDAS DI ARAB SAUDI
URUSAN MEMBAWA PULANG JEMAAH UMRAH WARGANEGARA MALAYSIA YANG TERKANDAS DI ARAB SAUDI
Kementerian Luar Negeri (KLN) ingin memaklumkan seramai 23 orang jemaah umrah warganegara Malaysia yang terkandas di Arab Saudi telah selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 12 November 2022 (Sabtu), jam 1.20 tengah hari menerusi penerbangan Malaysia Airlines (MH8023) dari Jeddah, Arab Saudi.
Dengan ketibaan ini, Kerajaan Malaysia telah membawa pulang kesemua 63 orang jemaah umrah yang terkandas di Arab Saudi semenjak Jun 2022. Kumpulan pertama seramai 36 orang telah tiba pada 4 November 2022 diikuti dengan kumpulan kedua seramai empat (4) orang yang tiba pada 7 November 2022 yang lalu.
Urusan membawa pulang jemaah umrah yang terkandas ini telah dilaksanakan dengan mematuhi peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi. Kerajaan Malaysia juga ingin merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang telah terlibat dalam membantu usaha ini.
Warganegara Malaysia dinasihatkan untuk sentiasa mematuhi dan menghormati undangundang negara tuan rumah bagi mengelakkan sebarang kesulitan ketika berada di luar negara.
PUTRAJAYA
12 November 2022