ULANG TAHUN KE-50 PENUBUHAN HUBUNGAN DIPLOMATIK ANTARA MALAYSIA DAN REPUBLIK RAKYAT CHINA
ULANG TAHUN KE-50 PENUBUHAN HUBUNGAN DIPLOMATIK ANTARA
MALAYSIA DAN REPUBLIK RAKYAT CHINA
Tahun 2024 merupakan ulang tahun ke-50 penubuhan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Republik Rakyat China, berikutan pemeteraian Kenyataan Bersama (Joint Communique) antara Perdana Menteri Tun Abdul Razak dan Perdana Menteri Chou En-Lai pada 31 Mei 1974.
Bagi menyambut ulang tahun penting ini, beberapa siri program dan aktiviti sedang dirancang, termasuk, tetapi tidak terhad kepada, pertukaran lawatan peringkat tinggi, pengeluaran setem peringatan, forum perniagaan dan persembahan kebudayaan.
Pada tahun 2013, hubungan kedua-dua negara ini telah dinaiktaraf kepada Perkongsian Strategik Komprehensif (Comprehensive Strategic Partnership). Pada tahun lepas, berikutan ulang tahun ke-10 CSP ini, pertukaran lawatan peringkat tinggi antara kedua-dua negara telah dipergiatkan lagi termasuklah lawatan YAB Dato' Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia ke China dan TYT Zhao Leji, Pengerusi Jawatankuasa Tetap ke-14 Kongres Kebangsaan Rakyat China (Chairman of the Standing Committee of the 14th National People’s Congress of China), ke Malaysia.
Ini mempamerkan penekanan yang diletakkan oleh pemimpin kedua-dua negara ke atas hubungan dua hala Malaysia-China, berdasarkan kepada prinsip hormat-menghormati dan persefahaman bersama. Malaysia sentiasa dan akan terus berpegang kepada “Dasar Satu China” (“One China Policy”) yang telah menjadi asas kepada perkongsian yang kukuh dan saling menguntungkan ini.
PUTRAJAYA
17 Januari 2024