TIGA (3) RAKYAT MALAYSIA SELAMAT TIBA DI TANAH AIR DARI SUDAN
TIGA (3) RAKYAT MALAYSIA
SELAMAT TIBA DI TANAH AIR DARI SUDAN
Tiga (3) lagi rakyat Malaysia telah selamat tiba di tanah air pada 7 Mei 2023, jam 5.00 pagi (waktu Malaysia) melalui penerbangan Saudia SV842. Kesemua mereka berada dalam keadaan sihat sejahtera.
Wisma Putra menerima maklumat berkenaan keberadaan keluarga ini yang tinggal di wilayah Al Gaza, Sudan pada 30 April 2023. Selaras dengan mandat Kerajaan, Taskforce Ops Sudan telah menggerakkan usaha membawa keluarga ini keluar dari negara yang sedang bergolak melalui jalan darat dengan menaiki bas dari Khartoum ke Port Sudan pada 2 Mei 2023.
Seperti proses evakusi sebelumnya, sebaik sampai di Port Sudan, ketiga-tiga mereka dibawa ke Jeddah melalui kapal tentera laut Arab Saudi pada 4 Mei 2023.
Kerajaan Malaysia menzahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada semua pihak terutamanya Kerajaan Arab Saudi, Perwakilan Malaysia di Khartoum, Riyadh dan Jeddah serta Taskforce Ops Sudan atas usaha membawa rakyat Malaysia ini keluar dari Sudan sehingga mereka selamat tiba ke tanah air.
PUTRAJAYA
7 Mei 2023