TIADA PERUBAHAN DASAR VISA AMERIKA SYARIKAT BAGI RAKYAT MALAYSIA
TIADA PERUBAHAN DASAR VISA AMERIKA SYARIKAT BAGI RAKYAT MALAYSIA
Kementerian Luar Negeri ingin menjelaskan bahawa setakat hari ini, tiada sebarang perubahan terhadap keperluan visa atau dasar imigresen yang secara khusus menjejaskan rakyat Malaysia yang ingin melancong atau menetap di Amerika Syarikat.
Berikutan laporan terkini yang mengetengahkan perkembangan berkaitan dasar imigresen di Amerika Syarikat, Kementerian ini ingin menjelaskan bahawa tindakan tersebut tidak menyasarkan rakyat Malaysia secara khusus. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia yang sedang berada di Amerika Syarikat atau yang merancang untuk ke negara tersebut dinasihatkan agar sentiasa mengikuti perkembangan terkini berkenaan keperluan masuk, visa, dan dasar imigresen yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa Amerika Syarikat.
Rakyat Malaysia di Amerika Syarikat turut digesa untuk sentiasa mematuhi undang-undang tempatan, peraturan imigresen dan syarat visa masing-masing, yang dikuatkuasakan dengan ketat. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau keperluan untuk mendapatkan bantuan konsular, mereka digalakkan untuk menghubungi Perwakilan Diplomatik Malaysia yang terdekat di alamat berikut:
KEDUTAAN BESAR MALAYSIA DI WASHINGTON, D.C.
Alamat: 3516 International Court N.W. Washington, D.C., 20008 U.S.A
Nombor telefon: +1 (202) 375 4396
Emel: mwwashington@kln.gov.my / consularwdc@kln.gov.my
KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI LOS ANGELES
Alamat: 777 South Figueroa Street, Suite 600, Los Angeles, California
Nombor telefon: +1-213-892 1238
Emel: mwlosangeles@kln.gov.my
KONSULAT JENERAL MALAYSIA DI NEW YORK
Alamat: 313 East 43rd Street, New York, NY 10017
Nombor telefon: +1 (212) 490-2723
Emel: mwnewyorkcg@kln.gov.my
Kementerian ini akan terus memantau perkembangan mengenai perkara ini dan akan menyalurkan maklumat terkini sekiranya terdapat sebarang perubahan yang melibatkan rakyat Malaysia. Semua pengembara digalakkan untuk merujuk kepada sumber rasmi bagi mendapatkan maklumat yang sahih apabila merancang perjalanan atau keberadaan mereka di luar negara.
PUTRAJAYA
19 April 2025